Jumat Idris Muncul Semula di Sepanggar Sokong BN
08:04 Apr 30, 2018  |  By SabahKini2
Jumat Idris Muncul Semula di Sepanggar Sokong BN

Nampaknya Warisan sedang menggigit jari. Azhar Matusin lompat parti ke Warisan, Azis Jamman anak saudara Shafie Apdal pula dihantar ke Sepanggar

KOTA KINABALU, 29 April: Selepas berkontroversi dan berteka-teki penyandang kerusi Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris malam tadi muncul di Sepanggar menyatakan pendiriannya untuk terus kekal setia bersama perjuangan Barisan Nasional (BN) meskipun keanggotaan beliau dalam UMNO masih digantung.



Beliau yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Sepanggar berkata beliau juga akan memberi sokongan penuh seterusnya membantu jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Sepanggar bagi terus mengekalkan kerusi kawasan Parlimen itu dalam genggaman BN.

Jumat mendedahkan pendiriannya itu dihadapan kira-kira 3,000 penyokongnya sekali gus menjawab desas-desus kononnya beliau akan bertanding atas tiket pembangkang di parlimen Sepanggar. 

"Saya orang BN dan hati saya masih kuat kepada BN... Saya taat setia kepada parti (buktinya) kerusi saya di Parlimen sampai (Parlimen dibubarkan) masih lagi BN. Justeru, jangan ada sesiapa pertikaikan kesetiaan saya.

"Walaupun saya tidak dicalonkan pada pilihan raya kali ini, saya masih akan meneruskan keanggotaan saya sebagai dalam BN sehingga hukuman saya digugurkan (dalam UMNO)," katanya.


Turut hadir pada majlis itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang juga Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah; dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Dalam pada itu, Jumat juga menggesa penyokong-penyokongnya memberi sokongan kepada BN dan calon dipilih mewakili parti bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan terbabit.

"Kita harus reda... perjuangan saya bukan perjuangan peribadi tetapi untuk rakyat Sepanggar... Kita perlu bersama-sama BN untuk membina masa depan lebih cerah," katanya.

Pada PRU13, Jumat menang kerusi Parlimen Sepanggar dengan memperoleh majoriti 9,442 undi.

Pada PRU14 ini, Abdul Rahman yang mewakili BN-UMNO akan dicabar calon Warisan Mohd Azis Jamman, Jeffrey Kumin (SAPP) dan Robert Sopining (PCS) dalam persaingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Sepanggar.

4 Comments