KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM87.5 juta bagi melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan tahun ini dalam usaha memastikan rakyat negeri itu mendapat akses pendidikan berkualiti dan saksama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan serta memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada pendidikan disebabkan kekangan kewangan.
Menurutnya, pembangunan modal insan merupakan antara teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang bertujuan meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri secara mampan serta inklusif.
“Pendidikan adalah asas penting dalam membina masa depan sesebuah negeri dan negara. Pendidikan juga kunci utama yang mampu mengubah nasib sesebuah keluarga, membasmi kemiskinan dan seterusnya memacu kemajuan Sabah ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Sabah 2026 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, kerajaan negeri berpegang kepada prinsip Sabah First dengan memastikan akses pendidikan diberikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang keluarga, kedudukan ekonomi atau lokasi tempat tinggal.
Katanya, meskipun pendidikan secara asasnya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif menerusi kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau berkata, pelbagai bantuan pendidikan disediakan termasuk bantuan kewangan, biasiswa dan sokongan persekolahan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dan Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS).
Turut disediakan ialah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS), Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) serta Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA).
Inisiatif lain termasuk Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES).
Menurut Hajiji, sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk Bantuan Yuran Peperiksaan MUET (BAYU) khusus untuk pelajar daripada keluarga B40.
Bagaimanapun, katanya, 13 inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah menerima peruntukan RM87.5 juta tahun ini dan akan diteruskan pada tahun depan.
Beliau berkata, sepanjang lima tahun pelaksanaan inisiatif berkenaan, kerajaan negeri membelanjakan RM254 juta yang memberi manfaat kepada 141,635 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan 277,124 pelajar sekolah.
Peruntukan itu turut membantu 1,537 sekolah termasuk sekolah agama, 67 persatuan pelajar IPT Sabah serta membolehkan 476 program pendidikan dilaksanakan.
Selain itu, bantuan pendidikan turut disalurkan menerusi agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan organisasi bantuan yang boleh diakses melalui Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS).
Antaranya Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang menyediakan biasiswa dan tajaan pengajian tinggi dengan peruntukan meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM161 juta setakat 31 Oktober 2026 berbanding RM55 juta pada 2021.
Bantuan pendidikan turut disediakan oleh Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh dan menambah baik inisiatif bantuan pendidikan supaya penyampaiannya lebih berkesan, telus dan sampai kepada kumpulan sasaran.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk jabatan kerajaan, sekolah, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti setempat berganding bahu menyokong usaha berkenaan demi melahirkan generasi muda berilmu, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara pada masa depan.

