Sabah perlu pusat rawatan trauma, rehabilitasi sendiri – Hajiji
15:11 Nov 26, 2026  |  By SabahKini2
Sabah perlu pusat rawatan trauma, rehabilitasi sendiri – Hajiji

Beliau berkata, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, termasuk Sabah, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan sebuah hospital khusus yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi serta pusat latihan perkhidmatan pra-hospital bagi memperkukuh sistem rawatan kecemasan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keperluan itu perlu disokong usaha mengatasi kekurangan tenaga kerja dan kelengkapan ambulans, terutama bagi memastikan penduduk di kawasan bandar dan pedalaman mendapat rawatan kecemasan berkualiti.

Beliau berkata, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, termasuk Sabah, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Katanya, penyakit serebrovaskular atau strok dan kemalangan jalan raya turut menjadi antara punca utama kematian.

Menurutnya, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan panggilan kecemasan menerusi talian 999 meningkat daripada 14,256 pada 2024 kepada 15,434 pada 2025.

"Sebanyak 10,154 panggilan direkodkan setakat September tahun ini.

"Perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memainkan peranan penting dalam rangkaian penjagaan kesihatan, khususnya melalui pemberian rawatan awal dan masa respons yang pantas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, di sini, semalam.

Hajiji berkata, orang awam yang mempunyai kemahiran pertolongan cemas mampu memberikan bantuan awal kepada mangsa sementara menunggu ketibaan ambulans.

Katanya, tindakan pantas dan tepat bukan sahaja dapat mengurangkan risiko komplikasi, malah berpotensi menyelamatkan nyawa.

Beliau berkata, keperluan melatih lebih ramai anggota masyarakat sebagai ahli pertolongan cemas semakin penting memandangkan keluasan geografi Sabah dan taburan penduduknya.

Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, Sabah mempunyai kira-kira 3.4 juta penduduk dengan kepadatan purata 46 orang bagi setiap kilometer persegi.

"Kelangsungan hidup mangsa pada minit awal kecemasan banyak bergantung kepada orang awam dan responden pertama komuniti yang terlatih untuk memberikan bantuan, termasuk resusitasi kardiopulmonari (CPR)," katanya.

Hajiji turut menyifatkan penganjuran kursus itu sebagai inisiatif tepat kerana buat pertama kali ia melibatkan pengiring peribadi menteri, pembantu menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai Jabatan Ketua Menteri.

Beliau berkata, program berkenaan wajar diteruskan secara berkala dan diperluas kepada semua pengiring peribadi wakil rakyat yang berkhidmat di lapangan.

Dalam pada itu, beliau menggesa setiap ADUN menggunakan sebahagian peruntukan masing-masing untuk melatih dan menyediakan pasukan pertolongan cemas di kawasan mereka.

Katanya, usaha itu selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

"Lebih ramai orang awam perlu dilatih sebagai ahli pertolongan cemas bagi mencapai sasaran seorang ahli pertolongan cemas bagi setiap keluarga," katanya.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Datuk Dr G Mohan A Gopal Naidoo dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri Sabah.

Comment