KUCHING: Polis Sarawak akan menggerakkan lebih 7,500 anggota bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Saifullizan Ishak, berkata hampir 5,000 anggota akan ditugaskan pada hari penamaan calon, manakala lebih 7,500 anggota akan digerakkan pada hari pengundian.
Katanya, seramai 250 pegawai dan anggota dari Bukit Aman serta kontinjen Sabah turut membantu operasi berkenaan.
"Kami juga mendapat bantuan seramai 250 pegawai dan anggota daripada Bukit Aman dan kontinjen Sabah," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Beliau berkata persiapan menghadapi pilihan raya itu sudah dimulakan lebih awal dengan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan anggota, keselamatan, logistik dan penyelarasan bersama agensi berkaitan.
Menurutnya, aspek logistik turut diberi perhatian, termasuk penggunaan aset sedia ada serta penyewaan kenderaan, bot, helikopter dan bas bagi memenuhi keperluan operasi.
Katanya, polis Sarawak mempunyai dua helikopter yang mencukupi untuk penugasan PRN kali ini, namun penambahan bot dan kenderaan masih diperlukan bagi memudahkan pergerakan anggota, khususnya ke kawasan sukar diakses.
Saifullizan berkata persiapan setakat ini berjalan lancar menerusi beberapa mesyuarat penyelarasan dan taklimat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta agensi berkaitan.
Katanya, semua Ketua Polis Daerah turut terbabit dalam taklimat itu bagi memastikan arahan dan perancangan operasi diselaraskan di peringkat kontinjen serta daerah.
"Kita berharap suasana aman dan tertib seperti pilihan raya terdahulu di negeri ini dapat dikekalkan, selain semua pihak menghormati undang-undang serta mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan," katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan semua penugasan dilaksanakan secara neutral, adil dan profesional tanpa dipengaruhi kecenderungan politik peribadi anggota.
Katanya, kesiapsiagaan operasi, kerjasama antara agensi dan disiplin anggota penting bagi memastikan keselamatan pengundi, calon serta petugas pilihan raya sepanjang PRN berkenaan.

