Hajiji sedia pertimbang penangguhan perobohan Kampung Pondo
20:11 Nov 23, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji sedia pertimbang penangguhan perobohan Kampung Pondo

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan memahami kesulitan penduduk yang terjejas, namun tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan berdasarkan proses undang-undang dan peraturan ditetapkan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersedia mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan struktur kediaman tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, bagi memberi ruang kepada pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan memahami kesulitan penduduk yang terjejas, namun tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan berdasarkan proses undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Menurutnya, Kampung Pondo merupakan penempatan setinggan yang semakin padat dengan kediaman, sedangkan kawasan pulau berkenaan diperuntukkan sebagai kawasan peranginan dan tidak dibenarkan untuk pembinaan rumah.

“Ini boleh kita pertimbangkan, tetapi untuk makluman, kampung itu kita anggap kampung setinggan. Bukan baru kerajaan mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak mendirikan rumah di sana.

“Sudah padat, terlampau banyak rumah di kawasan itu. Ini kawasan peranginan, dekat pulau, jadi rakyat kita mesti tahu. Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin. Kita prihatin kepada rakyat kita, tetapi kita kena ikut proses undang-undang dan peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, di sini, malam tadi.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sudah lama menetapkan supaya penempatan setinggan dipindahkan atau dirobohkan selaras dengan perancangan yang dilaksanakan.

Katanya, penduduk perlu memahami tindakan berkenaan kerana kawasan itu sudah diduduki sejak berpuluh-puluh tahun, namun statusnya sebagai kawasan larangan mendirikan rumah tidak pernah berubah.

“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. 40 tahun, bertahun-tahun di sana, jadi jangan dijadikan itu isu seolah-olah kerajaan tidak prihatin.

“Kerajaan prihatin. Kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita mesti tahu bahawa kawasan itu dilarang untuk mendirikan rumah. Ia kawasan setinggan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, setiap kali tindakan perobohan hendak dilaksanakan, pelbagai alasan dan tuduhan dibangkitkan, termasuk dakwaan kerajaan tidak mengambil berat terhadap kebajikan penduduk.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tetap berusaha mencari jalan bagi memastikan kehidupan penduduk yang terjejas tidak terabai.

Menurutnya, keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat tidak bermakna undang-undang dan peraturan boleh diketepikan, sebaliknya semua pihak perlu memahami ketetapan berhubung penggunaan kawasan berkenaan.

Comment