PAC digesa siasat keputusan tamatkan model PDP Pan Borneo pada 2019
21:11 Nov 15, 2026  |  By SabahKini2
PAC digesa siasat keputusan tamatkan model PDP Pan Borneo pada 2019

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan menamatkan model berkenaan dan beralih kepada kaedah konvensional perlu disiasat bagi mengenal pasti punca serta kesannya terhadap pelaksanaan projek itu.

PAPAR: Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengemukakan memorandum kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mendesak siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 diperluaskan, termasuk meneliti keputusan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan menamatkan model berkenaan dan beralih kepada kaedah konvensional perlu disiasat bagi mengenal pasti punca serta kesannya terhadap pelaksanaan projek itu.

Menurutnya, perkara tersebut wajar diberi perhatian kerana jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat sebelum ini menyatakan penamatan model PDP sebagai antara punca utama kelewatan projek Pan Borneo Fasa 1A.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, siasatan PAC tidak seharusnya hanya tertumpu kepada status dan prestasi semasa projek, sebaliknya perlu merangkumi keputusan dasar terdahulu yang memberi kesan kepada kemajuannya.

"Kita mahu PAC meneliti bukan sahaja status dan prestasi pelaksanaan projek pada masa ini, tetapi keputusan dasar terdahulu yang mempunyai implikasi terhadap status kemajuan semasa.

"Hal ini penting bagi memastikan sebarang perubahan dasar mana-mana pihak tidak dibuat atas pertimbangan politik kepartian sehingga membelakangkan keutamaan menyegerakan usaha memperkukuh jalinan infrastruktur jalan raya demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program IP Spark di Dewan SMK Pengalat, di sini, pada Ahad.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, penamatan model PDP pada 22 September 2019 serta peralihan kepada kaedah konvensional perlu diteliti bagi mengenal pasti asas keputusan berkenaan.

Katanya, ketidaktentuan mengenai status PDP dan pelantikan kontraktor susulan pertukaran kerajaan pada 2018 menyebabkan pelaksanaan projek sedia ada terbantut lebih setahun bermula Mei tahun itu, sebelum kontraktor dilantik semula pada 2019.

Malah, proses pelantikan semula kontraktor sedia ada dan pelantikan kontraktor baharu bagi pakej Fasa 1A turut terganggu sehingga 2021, sekali gus memberi kesan kepada kos pelaksanaan projek.

Menurut Armizan, dapatan awal itu berdasarkan jawapan rasmi KKR di Parlimen serta maklum balas kontraktor yang terjejas akibat perubahan mekanisme pelaksanaan projek berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan PAC turut memanggil kontraktor terbabit untuk memberikan keterangan berhubung masalah dan tekanan yang dihadapi sepanjang tempoh ketidaktentuan tersebut.

"Prosiding PAC tidak seharusnya terhad kepada agensi kerajaan, sebaliknya perlu turut mendapatkan keterangan kontraktor bagi memahami kesan sebenar keputusan berkenaan terhadap pelaksanaan projek.

"Kita mahu memastikan mana-mana pihak yang mengambil alih kerajaan tidak membuat keputusan dasar berdasarkan pertimbangan politik sehingga membelakangkan kepentingan pelaksanaan segera projek infrastruktur rakyat," katanya.

Comment