RANAU: Aktiviti kokurikulum penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berkeyakinan dan mempunyai ciri kepimpinan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata pendidikan tidak seharusnya hanya berfokus kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu turut menekankan pembentukan sahsiah, jati diri dan pembangunan potensi pelajar.
Menurutnya, penyertaan dalam aktiviti sukan, persatuan, kelab dan badan beruniform dapat membantu pelajar meningkatkan keyakinan diri, mengasah bakat kepimpinan serta memupuk disiplin dan semangat kerja berpasukan.
“Kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bijak dalam pelajaran, tetapi juga mempunyai jati diri, berakhlak mulia, berani menghadapi cabaran dan mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kokurikulum SMK Mat Salleh, Ranau. Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kejayaan tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan usaha, pengorbanan, latihan, disiplin dan kesungguhan berterusan.
Katanya, Sabah memerlukan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan untuk menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
“Masa depan negeri dan negara turut bergantung kepada kualiti generasi muda yang dibentuk pada hari ini,” katanya.
Beliau turut menggesa pelajar supaya terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang, berani mencuba perkara baharu dan menjadikan setiap cabaran serta kegagalan sebagai pengalaman untuk memperbaiki diri.
Dalam pada itu, Masidi merakamkan penghargaan kepada warga pendidik, khususnya guru penasihat dan jurulatih kokurikulum, atas komitmen mereka membimbing serta mengembangkan potensi pelajar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus meningkatkan pencapaian.
Seramai 500 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima, termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menerima pengiktirafan dalam majlis itu atas pencapaian serta penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti kokurikulum merangkumi sukan, persatuan, kelab dan badan beruniform.

