KOTA KINABALU: Lebih ramai golongan belia perlu digalakkan menceburi industri agromakanan bagi memastikan sektor pertanian Sabah berkembang sebagai industri moden yang mampu menjana kekayaan dan peluang pekerjaan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor supaya lebih ramai anak muda menyertai sektor itu wajar diberi perhatian.
Beliau berkata, sektor pertanian, penternakan dan perikanan mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber ekonomi baharu, khususnya kepada golongan muda yang mahu membina kerjaya atau mengusahakan perniagaan sendiri.
Katanya, tanggapan bahawa pertanian hanya bergantung kepada kaedah tradisional perlu diubah kerana industri itu mempunyai peluang luas untuk berkembang menerusi pendekatan moden dan berorientasikan pasaran.
"Penglibatan golongan muda amat penting bagi memastikan sektor agromakanan mempunyai tenaga kerja baharu yang mampu membawa idea, inovasi dan pendekatan lebih segar dalam industri ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi Ahli Jemaah Pengarah PPNS mengadakan kunjungan hormat kepada Hajiji di Menara Kinabalu, hari ini.
Nazri berkata, usaha menarik minat belia perlu disokong dengan pendedahan, latihan kemahiran dan peluang untuk mereka terbabit secara langsung dalam aktiviti pertanian, penternakan serta perikanan.
Beliau berkata pembangunan industri itu juga perlu memberi tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tambah, termasuk pemprosesan dan pemasaran, bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha muda.
Menurutnya, transformasi daripada kaedah tradisional kepada sistem pengeluaran moden dan cekap penting bagi meningkatkan daya saing industri agromakanan Sabah serta memenuhi permintaan pasaran.
Katanya, PPNS menyokong usaha kerajaan negeri memperkukuh sektor pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dalam perkembangan lain, PPNS turut memohon sokongan Hajiji supaya ahli peladang berusia 70 tahun ke atas yang masih menjadi pemegang saham Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dibenarkan bertanding dan memegang jawatan dalam PPK atau Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).
Nazri berkata, langkah itu membolehkan ahli berpengalaman terus menyumbang kepada kepimpinan gerakan peladang.
Kunjungan berkenaan turut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan PPNS kepada Ketua Menteri.

