Malaysia, tiga negara ASEAN perkukuh usaha banteras penyeludupan bahan kimia
18:11 Nov 03, 2026  |  By SabahKini2
Malaysia, tiga negara ASEAN perkukuh usaha banteras penyeludupan bahan kimia

Menurutnya, operasi itu dimulakan dengan latihan pengurusan tempat kejadian di Bangkok pada Disember 2025, diikuti latihan teknik penyiasatan antipenyeludupan bahan kimia di Malaysia pada Mei 2026.

BANGKOK: Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina bekerjasama dengan Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) menerusi operasi serantau bagi membanteras penyeludupan bahan kimia rentas sempadan.

Operasi itu turut bertujuan menghalang penyalahgunaan bahan kimia untuk menghasilkan dadah dan bahan letupan.

Timbalan Jurucakap Polis Diraja Thailand (RTP), Kolonel Polis Songake Patcharawit berkata, Operasi Penguatkuasaan Antipenyeludupan Bahan Kimia (CHASE) dilaksanakan menerusi empat fasa membabitkan latihan, mesyuarat penyelarasan dan aktiviti penguatkuasaan.

Menurutnya, operasi itu dimulakan dengan latihan pengurusan tempat kejadian di Bangkok pada Disember 2025, diikuti latihan teknik penyiasatan antipenyeludupan bahan kimia di Malaysia pada Mei 2026.

Mesyuarat penyelarasan operasi kemudian diadakan di Bangkok pada Julai sebelum aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan di keempat-empat negara peserta.

Beliau berkata, operasi berkenaan bertujuan memperkukuh kawalan sempadan, meningkatkan keupayaan mengesan penyeludupan bahan kimia secara haram serta mempererat kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang serantau.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan di Thailand dijalankan di Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen Sadao, Songkhla, dari 27 hingga 29 Oktober.

Thailand turut mengerahkan anggota daripada beberapa unit RTP termasuk Biro Polis Metropolitan, Biro Polis Peronda Sempadan, Biro Imigresen, Pejabat Sains Forensik Polis dan Bahagian Hal Ehwal Luar Negeri, selain Jabatan Kastam Thailand.

Songake berkata, pakar Interpol memberikan panduan teknikal sepanjang operasi berkenaan.

Antara aktiviti dijalankan termasuk pemeriksaan kenderaan, pertukaran maklumat secara masa nyata serta penyelarasan antara pihak polis dan kastam bagi mengenal pasti pergerakan bahan kimia mencurigakan.

"Keupayaan pemantauan dan pengesanan yang lebih kukuh amat penting bagi mencegah bahan kimia daripada disalahgunakan untuk tujuan jenayah, khususnya penghasilan dadah dan bahan letupan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Comment