KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) mengemukakan beberapa cadangan inisiatif baharu untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Sabah 2027.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Ewon Benedick, berkata cadangan itu dibentangkan dalam sesi libat urus bersama Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, di sini semalam.
Ewon, yang juga menteri pembangunan perindustrian, keusahawanan dan pengangkutan negeri, berkata sesi itu turut membincangkan inisiatif sedia ada yang dilaksanakan MINDET dan agensi di bawahnya.
“Selain inisiatif sedia ada oleh MINDET dan agensi-agensinya, saya juga membentangkan beberapa cadangan inisiatif untuk pertimbangan Belanjawan Sabah 2027,” katanya.
Beliau berkata SEDCOVEST, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang berada di bawah MINDET, turut membuat pembentangan khas dalam sesi berkenaan.
Sesi libat urus itu sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan Sabah 2027 bagi membolehkan Kementerian Kewangan negeri meneliti cadangan serta keperluan peruntukan daripada kementerian dan agensi berkaitan.
Turut hadir Setiausaha Tetap MINDET, Thomas Logijin; Timbalan Setiausaha Tetap MINDET, Moira David; serta pegawai kanan MINDET dan Kementerian Kewangan Sabah.

