KOTA KINABALU: Penerima bantuan ternakan di Sabah kini diwajibkan membayar bon sebanyak 10 peratus daripada nilai ternakan yang diterima bagi memastikan ternakan induk tidak dijual terlalu awal.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata langkah itu bertujuan memperkukuh industri penternakan ruminan negeri, khususnya bagi ternakan lembu dan kambing.
Beliau berkata sistem bon itu diperkenalkan bagi menggalakkan penternak mengekalkan ternakan induk dan mengembangkannya sehingga tujuh generasi, sekali gus meningkatkan pengeluaran ternakan untuk keperluan daging.
“Kita mahu sekurang-kurangnya para penternak ini dapat memelihara lembu dan kambing hingga tujuh generasi. Maka barulah boleh dipakai untuk keperluan daging.
“Kita juga mahu penternak kita ada ilmu supaya dengan ilmu yang dipelajari, mereka akan berjaya melaksanakan penternakan ini dalam memajukan industri penternakan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyambut ketibaan segmen kedua penghantaran ternakan lembu dan kambing dari Australia di sini hari ini.
Jamawi berkata sistem bon itu juga bertujuan mengelakkan penternak menjual ternakan induk selepas anak pertama dilahirkan, yang boleh menyebabkan kerugian kepada industri penternakan negeri.
Menurutnya, penternak yang layak menerima bantuan perlu membayar bon sebanyak RM160 bagi seekor kambing bernilai RM1,600, manakala bon bagi seekor lembu bernilai RM16,000 ialah RM1,600.
Beliau berkata bon berkenaan akan dipegang selama kira-kira tiga tahun dan dipulangkan kepada penternak sekiranya syarat program dipenuhi, termasuk ternakan berkenaan produktif dan menghasilkan sehingga tiga ekor anak dalam tempoh itu.
Katanya, wang yang dikembalikan boleh digunakan untuk menambah jumlah ternakan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata Sabah menerima sebanyak 1,090 ekor ternakan bagi segmen kedua penghantaran dari Australia, membabitkan 950 kambing Boer dan 140 lembu Jersey Friesian.
Beliau berkata ternakan berkenaan dibawa dari Darwin, Sydney, Melbourne dan Brisbane sebelum diterbangkan ke Sabah.
Kesemua ternakan itu akan menjalani kuarantin di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Penampang sebelum diagihkan kepada penternak yang layak mulai 28 Okt ini.
Jamawi berkata bantuan berkenaan bertujuan memperkasakan penternak sedia ada, selain membantu pekebun kelapa sawit meningkatkan pendapatan melalui integrasi penternakan dengan tanaman berkenaan.
“Seramai 19 penternak akan menerima bantuan ternakan kambing, manakala lembu ini akan diagihkan kepada peserta di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dan Syarikat DESA di Keningau,” katanya.
Beliau berkata lembu tenusu berkenaan mempunyai daya tahan lebih baik terhadap cuaca panas dan sesuai diternak di Keningau, berbeza daripada lembu yang diternak di Kundasang.

