KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjangka menghimpunkan hampir 3,000 peserta dan pemerhati pada konvensyen tahunannya di Dewan Tun Mustapha, Kudat, Ahad ini.
Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata konvensyen sulung itu akan disertai wakil dari semua 26 kawasan Parlimen di Sabah, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya, pemilihan Kudat sebagai lokasi penganjuran selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi GRS supaya program gabungan itu diadakan secara bergilir di daerah lain, bukan hanya tertumpu di Kota Kinabalu.
Konvensyen itu akan menampilkan ucaptama Pengerusi GRS, Hajiji Noor, selain sesi perkongsian oleh enam timbalan pengerusi yang mewakili parti komponen gabungan berkenaan.
Menurut Armizan, konvensyen itu menjadi platform untuk kepimpinan pusat dan bahagian membincangkan hala tuju politik serta perkembangan agenda pembangunan Sabah.
Beliau berkata antara agenda utama ialah memperkukuh kesiapsiagaan GRS menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Selain itu, konvensyen berkenaan akan menilai kemajuan pelaksanaan manifesto GRS, termasuk Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Armizan berkata pemimpin akar umbi yang tidak dapat hadir secara fizikal masih boleh menyampaikan pandangan dan maklum balas menerusi platform dalam talian yang disediakan Sekretariat Ibu Pejabat GRS.

