60 operasi pembenihan awan bantu tangani jerebu
22:10 Oct 15, 2026  |  By SabahKini2
60 operasi pembenihan awan bantu tangani jerebu

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata pelaksanaan operasi itu bergantung pada keperluan semasa serta kesesuaian keadaan atmosfera.

PETALING JAYA: Kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia, yang memusnahkan kira-kira 57,081 hektar kawasan meningkatkan kebimbangan terhadap kualiti udara serantau ketika beberapa kawasan di Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Pada 6 petang semalam, Pasir Gudang, Johor mencatatkan IPU tertinggi pada paras 183, meningkat daripada 181 tiga jam sebelumnya. Di Lembah Klang, Klang merekodkan IPU 181, diikuti Johan Setia (177) dan Cheras (171).

Bagi menangani cuaca kering dan kesan jerebu, sebanyak 60 penerbangan untuk operasi pembenihan awan dilaksanakan di seluruh negara setakat Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata pelaksanaan operasi itu bergantung pada keperluan semasa serta kesesuaian keadaan atmosfera.

Katanya, pembenihan awan bertujuan meningkatkan taburan hujan di kawasan sasaran, khususnya bagi menangani kekurangan hujan, menyokong pengurusan sumber air dan membantu mengurangkan kesan jerebu.

“METMalaysia menentukan kesesuaian masa pelaksanaan operasi berdasarkan analisis dan pemantauan berterusan.

“Antara faktor utama yang dinilai ialah kewujudan awan berpotensi menghasilkan hujan, kandungan kelembapan atmosfera, arah dan kelajuan angin, kestabilan atmosfera serta pergerakan sistem cuaca,” katanya.

Mohd Hisham berkata, penilaian turut mengambil kira data cerapan meteorologi, model ramalan cuaca dan potensi hujan di kawasan sasaran.

Beliau berkata, operasi pembenihan awan mencatatkan kadar kejayaan melebihi 90% dalam menghasilkan hujan di kawasan sasaran.

Bagaimanapun, katanya, kadar itu merujuk kepada keupayaan operasi menghasilkan hujan dan bukannya peningkatan jumlah taburan hujan.

“Keberkesanan dinilai menerusi kejadian hujan di kawasan sasaran selepas operasi serta data daripada rangkaian stesen pencerapan meteorologi.

“Namun, hujan yang direkodkan selepas operasi tidak semestinya berpunca sepenuhnya daripada pembenihan awan kerana proses pembentukan hujan juga boleh berlaku secara semula jadi,” katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan persekitaran dan pekerjaan, Prof Dr Haliza Abdul Rahman, berkata kebakaran di Kalimantan melibatkan kawasan seluas 57,081 hektar atau 570.81 kilometer persegi, bersamaan lebih separuh keluasan Perlis yang berkeluasan 819 kilometer persegi.

Menurutnya, Kalimantan Barat menyumbang kawasan kebakaran terbesar, iaitu kira-kira 38,310 hektar atau 67.1% daripada keseluruhan kawasan yang dilaporkan setakat semalam.

Berdasarkan data sistem Sipongi Kementerian Kehutanan Indonesia dan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Kalimantan Tengah merekodkan kira-kira 7,634 hektar kawasan terbakar, diikuti Kalimantan Selatan sebanyak 3,387 hektar dan Kalimantan Timur sekitar 1,288 hektar.

Haliza berkata, meskipun kawasan terbakar itu hanya meliputi kira-kira 0.106% daripada keseluruhan geografi Kalimantan, kesannya terhadap alam sekitar serantau tetap besar.

Katanya, kebakaran tanah gambut menghasilkan asap dalam jumlah besar dan boleh berlarutan kerana api mampu merebak di bawah permukaan tanah, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman.

“Asap daripada kebakaran terbuka itu juga dibawa angin merentasi sempadan, termasuk ke Malaysia dan Singapura, bergantung pada arah dan kelajuan angin serta keadaan atmosfera semasa,” katanya.

Beliau berkata, pergerakan asap antara faktor yang menyebabkan bacaan IPU berubah mengikut kawasan, khususnya apabila angin membawa asap dari lokasi kebakaran ke kawasan berpenduduk.

Selain menjejaskan kualiti udara, kebakaran hutan dan tanah gambut turut membebaskan karbon dioksida serta bahan pencemar lain ke atmosfera, sekali gus menyumbang kepada perubahan iklim dan mengancam keseimbangan ekosistem.

Pakar klimatologi dan perubahan iklim, Prof Dr Fredolin Tangang, berkata keadaan kering dan panas dijangka berterusan di Kalimantan dan Sumatera, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan di kawasan terbabit.

Katanya, keadaan sama turut berpotensi mencetuskan kebakaran di Malaysia sekiranya cuaca panas dan kering berterusan.

“Di Malaysia, keadaan panas dan kering khususnya di Sabah serta utara Semenanjung dijangka berlanjutan hingga awal tahun depan,” katanya.

Fredolin berkata, perubahan corak cuaca dan iklim berkaitan fenomena El Niño perlu diberi perhatian kerana boleh meningkatkan risiko kebakaran serta menjejaskan kualiti udara.

Comment