142 titik panas dikesan di Sumatera, JAS pantau risiko jerebu
15:10 Oct 13, 2026  |  By SabahKini2
142 titik panas dikesan di Sumatera, JAS pantau risiko jerebu

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, aktiviti titik panas di rantau ini masih menunjukkan perubahan dan memerlukan pemantauan berterusan.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 142 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia, setakat semalam, menjadikannya kawasan yang merekodkan jumlah tertinggi di rantau ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 17 titik panas yang direkodkan sehari sebelumnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, aktiviti titik panas di rantau ini masih menunjukkan perubahan dan memerlukan pemantauan berterusan.

Menurutnya, pemantauan itu penting bagi menilai potensi risiko jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan kualiti udara di Malaysia.

“Data ini perlu terus dipantau bagi menilai potensi risiko jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan kualiti udara di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, jumlah titik panas di Kalimantan mencatatkan penurunan kepada 120 semalam berbanding 212 pada hari sebelumnya.

Beliau turut memaklumkan tiada titik panas dikesan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dalam tempoh sama.

Menurut Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC), data berkenaan diperoleh berdasarkan cerapan imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).

ASMC menjelaskan, titik panas yang dikesan menunjukkan lokasi berkemungkinan berlaku kebakaran.

Bagaimanapun, pengesanan itu boleh terjejas akibat keadaan berawan atau liputan satelit yang tidak lengkap.

Comment