Lelaki ditahan, 52.09 gram syabu dirampas
00:10 Oct 08, 2026  |  By SabahKini2
Lelaki ditahan, 52.09 gram syabu dirampas

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek ditahan BSJND Penampang menerusi Op Gempur Khas JSJN, kira-kira jam 10.30 malam.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas polis menemukan 52.09 gram dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah hotel di Putatan, pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang menerusi Op Gempur Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sembilan paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki syabu.

“Kesemua dadah berkenaan dianggarkan seberat 52.09 gram dengan nilai kira-kira RM6,000.

“Polis turut menyita beberapa barangan dan wang tunai bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Sammy, ujian saringan awal air kencing suspek mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Comment