Bangkai gajah ditemukan penduduk di Sungai Kinabatangan
19:10 Oct 01, 2026  |  By SabahKini2
Bangkai gajah ditemukan penduduk di Sungai Kinabatangan

Bangkai haiwan berkenaan ditemukan penduduk sekitar jam 4.30 petang sebelum maklumat itu disalurkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

KINABATANGAN: Bangkai seekor gajah ditemukan hanyut di Sungai Kinabatangan, dipercayai dibawa arus dari kawasan Lot 5 menuju Sukau, pada Rabu.

Bangkai haiwan berkenaan ditemukan penduduk sekitar jam 4.30 petang sebelum maklumat itu disalurkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pihaknya mengesyaki bangkai berkenaan merupakan gajah yang dilaporkan sakit beberapa minggu lalu.

Menurutnya, JHL sebelum ini menerima maklumat secara tidak rasmi mengenai seekor gajah yang berada dalam keadaan sakit.

Bagaimanapun, katanya, tindakan lanjut tidak dapat dilakukan ketika itu kerana pihaknya tidak dapat memastikan kepada siapa aduan berkenaan disalurkan.

“Kita ada dimaklumkan secara tidak rasmi tetapi tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak pasti aduan dibuat kepada pihak mana.

“Bangkai ini disyaki adalah gajah yang dilaporkan sakit beberapa minggu lalu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Soffian berkata, keadaan sebenar bangkai serta maklumat lanjut hanya dapat dikenal pasti selepas anggota JHL tiba di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

Katanya, usaha membawa anggota ke lokasi ketika ini berdepan kekangan berikutan kekurangan bot.

“Maklumat mengenai keadaan bangkai tidak dapat dipastikan sehinggalah anggota sampai ke lokasi itu,” katanya.

Pemeriksaan di lokasi dijangka membantu pihak berkuasa mengenal pasti keadaan bangkai serta mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kematian gajah berkenaan.

Comment