Sabah, Kanada teroka peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan
18:09 Sep 30, 2026  |  By SabahKini2
Sabah, Kanada teroka peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan

Beliau berkata Sabah turut membuka ruang kerjasama dalam sektor Ekonomi Biru, termasuk akuakultur yang mempunyai potensi untuk diterokai bersama pelabur dan rakan strategik dari Kanada.

KOTA KINABALU: Sabah mahu memperkukuh hubungan dengan Kanada, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata Sabah turut membuka ruang kerjasama dalam sektor Ekonomi Biru, termasuk akuakultur yang mempunyai potensi untuk diterokai bersama pelabur dan rakan strategik dari Kanada.

Hajiji berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson, di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Katanya, Sabah mempunyai beberapa taman perindustrian yang bersedia menerima pelaburan asing, antaranya Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kawasan Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, Kudat Blue Economy Industrial Park dan Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).

Beliau berharap kunjungan itu dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama dan pelaburan Kanada di Sabah, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri.

Kanada sebelum ini menyatakan hasrat memperluas hubungan dua hala dan perdagangan dengan Malaysia dalam beberapa sektor, termasuk pertanian, kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta pertukaran pendidikan.

Comment