BELURAN: Operasi Bersepadu Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari di daerah ini merekodkan nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan dan rampasan berjumlah RM407,644.69.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dijalankan pada 28 dan 29 September itu membabitkan pemeriksaan terhadap 70 premis perniagaan serta 170 kenderaan.
Menurutnya, tiga lokasi turut dikenal pasti dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tidak bercukai.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, tindakan penguatkuasaan membabitkan kompaun, saman, tunggakan atau bayaran serta tindakan berkaitan undang-undang mencatat nilai RM293,450.16.
“Rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai pula dianggarkan bernilai RM114,194.53 termasuk duti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Victor berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengeluarkan enam kompaun bernilai RM159,000, selain empat notis pematuhan dan arahan pembayaran tunggakan berjumlah RM48,100.16.
Katanya, keseluruhan tindakan JTK Sabah bernilai RM207,100.16 itu membabitkan kesalahan di bawah Ordinan Buruh Sabah.
“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula mengeluarkan enam kompaun bernilai RM30,000 serta tujuh notis pematuhan.
“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeriksa 14 majikan dan mengeluarkan lima notis pemeriksaan, manakala lima kes dikenal pasti untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 170 kenderaan dan mengeluarkan 37 saman bernilai RM6,250.
Majlis Daerah Beluran pula mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM100 terhadap premis yang gagal menguruskan sampah dengan baik.
Victor berkata, semua rokok dan minuman keras tidak bercukai yang dirampas dibawa ke Pejabat Kastam Sandakan untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa 56 individu dan tidak mengesan sebarang kesalahan imigresen.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula memeriksa 15 individu dengan semua dokumen yang dikemukakan didapati tulen dan sah.
Operasi berkenaan membabitkan 184 pegawai dan anggota ESSCOM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Victor berkata, operasi memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, kenderaan dan lokasi terpilih bagi membanteras kegiatan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, barangan tidak bercukai serta kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Katanya, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa di daerah dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“Usaha ini bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman masyarakat di Sabah Timur.
“Masyarakat juga digesa terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan atau kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan di ESSZONE,” katanya.

