Kebakaran dua rumah, dua remaja cedera terjun dari tingkap
16:09 Sep 29, 2026  |  By SabahKini2
Kebakaran dua rumah, dua remaja cedera terjun dari tingkap

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 pagi itu, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 18 dan 13 tahun dilaporkan mengalami kecederaan sebelum dibawa orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

KOTA MARUDU: Dua remaja perempuan cedera selepas terpaksa melompat dari tingkap bagi menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Dandun, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 pagi itu, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 18 dan 13 tahun dilaporkan mengalami kecederaan sebelum dibawa orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas PBT II, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.55 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai.

"Jentera tiba di lokasi pada jam 5.24 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal. Kedua-dua rumah masing-masing berkeluasan 50x40 kaki dan 40x75 kaki persegi terbakar 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan tiga pancutan dengan sumber air daripada jentera bomba.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi. Berdasarkan maklumat saksi, dua mangsa perempuan mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri dengan melompat dari tingkap rumah," katanya.

Noor Jali berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa orang awam ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi bara api atau bahaya lain di lokasi kejadian.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.24 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain wujud," katanya.

Operasi diketuai PBK I Kamarudin Sabanah dengan kekuatan tujuh anggota BBP Pitas serta dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Comment