KOTA KINABALU: Beberapa laluan jalan raya di sekitar daerah ini terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi.
Tinjauan mendapati antara kawasan yang terjejas termasuk laluan dari Sepanggar menuju ke Sabah Ports serta kawasan berhampiran Indah Permai.
Keadaan itu menyebabkan pergerakan kenderaan di laluan terbabit menjadi perlahan, dengan pengguna jalan raya turut dilihat lebih berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air.
Situasi sama turut dilaporkan berlaku di Telipok apabila laluan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telipok berhampiran University Utama Condominium (UUC) turut dilanda banjir kilat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata pihaknya terus menjalankan pemantauan di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir susulan hujan berterusan.
“Anggota dan aset APM turut berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata orang awam dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu.
“Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, orang ramai disarankan menghubungi talian kecemasan 999,” katanya.
Sementara itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil risiko meredah laluan yang dinaiki air, khususnya sekiranya paras air tinggi atau keadaan jalan tidak dapat dipastikan.

