Ketua Penolong Pengarah, pengarah eksekutif ditahan SPRM Sabah
19:09 Sep 24, 2026  |  By SabahKini2
Ketua Penolong Pengarah, pengarah eksekutif ditahan SPRM Sabah

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu dipercayai terbabit dalam beberapa transaksi wang bagi memudahkan operasi perlombongan emas syarikat berkenaan di Tawau pada 2024 dan 2025.

KOTA KINABALU: Seorang Ketua Penolong Pengarah sebuah jabatan di Sabah dan Pengarah Eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki terlibat dalam pemberian dan penerimaan rasuah berkaitan operasi perlombongan emas.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu dipercayai terbabit dalam beberapa transaksi wang bagi memudahkan operasi perlombongan emas syarikat berkenaan di Tawau pada 2024 dan 2025.

Sumber berkata jumlah suapan yang disyaki terbabit adalah kira-kira RM18,000.

Menurut sumber, Ketua Penolong Pengarah berkenaan ditahan kerana disyaki menerima suapan, manakala Pengarah Eksekutif syarikat terbabit disyaki memberi suapan.

“Kedua-dua suspek hadir di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira 10 pagi hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

Comment