Lelaki tukar pengakuan dalam kes rogol kanak-kanak
19:09 Sep 22, 2026  |  By SabahKini2
Lelaki tukar pengakuan dalam kes rogol kanak-kanak

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap kanak-kanak tersebut di kawasan semak di belakang sebuah bangunan lama di Batu 4, Jalan Apas, di sini, pada Julai lalu.

TAWAU: Seorang pekerja pembetungan yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun sembilan bulan, hari ini menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Mhd Ali Salleh, 30, membuat pengakuan itu ketika prosiding di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya di Mahkamah Sesyen Tawau, di sini.

Tertuduh sebelum ini mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan ketika prosiding pada 14 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap kanak-kanak tersebut di kawasan semak di belakang sebuah bangunan lama di Batu 4, Jalan Apas, di sini, pada Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Okt ini bagi pengurusan kes praperbicaraan, penyerahan dokumen berkaitan serta urusan pelantikan peguam bagi mewakili tertuduh.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin tempatan, selain beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan wang jaminan berkenaan dan akan terus ditahan di Penjara Tawau sehingga prosiding seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin.

Comment