KKIS tawar laluan baharu lepasan tahfiz, pondok ke dunia pekerjaan
19:09 Sep 22, 2026  |  By SabahKini2
KKIS tawar laluan baharu lepasan tahfiz, pondok ke dunia pekerjaan

Hajiji berkata, usaha itu penting bagi memastikan anak-anak Sabah mempunyai laluan pendidikan dan kemahiran yang jelas serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI).

KOTA MARUDU: Lepasan institusi pondok, tahfiz dan pendidikan Islam di Sabah kini mempunyai laluan baharu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran menerusi penubuhan Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan KKIS di Pusat Latihan Dakwah USIA-AlBukhary, Kampung Marasinsim, merupakan usaha tepat pada masanya bagi menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih luas kepada golongan muda Islam.

Katanya, pelajar yang mempunyai asas agama, hafazan dan nilai akhlak perlu turut dilengkapi kemahiran teknikal bagi meningkatkan peluang mereka dalam pasaran pekerjaan.

“Kita mahu menggabungkan ilmu Islam dengan kemahiran teknikal dan vokasional, agar lepasan pondok dan tahfiz bukan sahaja mempunyai ilmu agama, tetapi juga mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh industri dan pasaran pekerjaan.”

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif, pada Majlis Perasmian KKIS di sini, hari ini.

Hajiji berkata, usaha itu penting bagi memastikan anak-anak Sabah mempunyai laluan pendidikan dan kemahiran yang jelas serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI).

Dalam pada itu, beliau mahu kerjasama strategik antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) terus diperkukuh bagi memastikan KKIS berkembang sebagai institusi kemahiran Islam yang berkualiti dan berdaya saing.

Menurutnya, perkongsian kepakaran, teknologi, pengalaman serta jaringan pendidikan daripada IKDAR mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan KKIS.

“Sudah pasti tindakan ini memberikan nilai tambah kemahiran supaya golongan muda Islam bukan sahaja mantap ilmu agama, malah berdaya saing di pasaran kerja.”

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan menyokong USIA dan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang melaksanakan usaha berkaitan kepentingan rakyat.

Hajiji berharap KKIS terus memperluaskan program kemahiran, memperkukuh kerjasama dengan pihak industri serta meningkatkan penguasaan AI dan teknologi digital.

Katanya, langkah itu penting bagi melahirkan graduan yang mempunyai asas agama yang kukuh, kemahiran tinggi serta bersedia memenuhi keperluan dunia pekerjaan masa depan.

“Saya berharap kolej ini terus menjadi pusat pendidikan, pembangunan modal insan dan pemerkasaan ummah di Sabah.”

Comment