Sukuk sulung SEC RM350 juta terima permintaan 2.2 kali ganda
19:09 Sep 18, 2026  |  By SabahKini2
Sukuk sulung SEC RM350 juta terima permintaan 2.2 kali ganda

Terbitan itu dibuat di bawah Program Sukuk Wakalah SEC bernilai RM3 bilion, dengan permintaan pelabur mencecah 2.2 kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan.

KUALA LUMPUR: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) memperoleh RM350 juta menerusi penerbitan sukuk sulung bagi membiayai pengembangan infrastruktur gas, penjanaan tenaga dan projek tenaga boleh baharu di Sabah.

Terbitan itu dibuat di bawah Program Sukuk Wakalah SEC bernilai RM3 bilion, dengan permintaan pelabur mencecah 2.2 kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan.

SEC berkata penerbitan itu berjaya dilaksanakan meskipun keadaan pasaran tidak menentu susulan peningkatan ketegangan geopolitik.

Sukuk berkenaan menerima penarafan jangka panjang AAA dengan prospek stabil daripada RAM Rating Services Bhd.

Menurut SEC, transaksi itu merupakan sukuk pertama diterbitkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Sabah yang ditetapkan harganya menerusi proses pembinaan buku.

Ia juga menandakan kemasukan sulung kumpulan tenaga milik kerajaan negeri itu ke dalam pasaran modal Islam Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir Adzmir Abd Rahman, berkata program sukuk berkenaan menyediakan platform pembiayaan yang fleksibel dan boleh diperluas bagi menyokong agenda PETA 2030 syarikat.

Katanya, agenda itu memberi tumpuan kepada pengukuhan operasi teras gas dan infrastruktur SEC, pengembangan portfolio penjanaan tenaga serta tenaga boleh baharu, selain pelaksanaan pelaburan secara berdisiplin di sepanjang rantaian nilai tenaga Sabah.

“Program ini menyokong hasil lebih luas yang digariskan di bawah SERAMP 2040, termasuk memperkukuh jaminan tenaga, mempercepat peralihan tenaga dan menyediakan bekalan yang lebih andal untuk Sabah,” katanya dalam kenyataan.

SEC dikorporatkan pada 1997 dan sejak itu berkembang daripada pengendali utiliti gas kepada kumpulan tenaga bersepadu dengan portfolio perniagaan yang pelbagai.

Syarikat itu merupakan pengagregat, pengangkut dan pengedar tunggal gas asli di Sabah.

Operasinya turut merangkumi infrastruktur gas asli, penjanaan tenaga, tenaga boleh baharu serta perkhidmatan sokongan minyak dan gas luar pesisir.

Dalam transaksi itu, Maybank Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat prinsipal tunggal, pengatur utama tunggal, pengurus utama tunggal, penasihat penstrukturan kemampanan tunggal, penasihat Syariah dan ejen kemudahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Banking Group, Michael Oh-Lau, berkata penerbitan itu membantu memperluas dan mempelbagaikan akses SEC kepada pembiayaan jangka panjang dalam ringgit.

Beliau berkata transaksi berkenaan turut meningkatkan profil SEC dan Sabah dalam kalangan pelabur institusi domestik serta antarabangsa.

Comment