PAPAR: Projek Menaik Taraf Muka Sauk Kabang kini mencapai kemajuan fizikal 94%, dengan baki kerja kritikal akan disiapkan menerusi Pelan Pencepatan selama 21 hari.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata baki kira-kira 6% kerja itu perlu diselesaikan sebelum sistem berkenaan boleh beroperasi pada kapasiti baharu.
Katanya, kerja bagi tiga hari pertama pelan berkenaan sudah dimulakan, termasuk mengosongkan kolam serta membina dinding struktur muka sauk.
“Kerja seterusnya membabitkan pembinaan tapak pam, pemasangan pam, penyambungan paip serta pengujian sistem.
“Bagi menyiapkan semua baki kerja kritikal ini, kolam perlu dikosongkan dan Muka Sauk Kabang sedia ada tidak dapat digunakan sepanjang 16 hari Pelan Pencepatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek itu pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Armizan berkata, operasi paip Muka Sauk Kabang sedia ada juga perlu dihentikan sementara pada hari ke-17 hingga ke-19 bagi membolehkan kerja penyambungan paip ke Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau dijalankan.
Dua hari terakhir pelan itu pula akan digunakan untuk proses pengujian dan pentauliahan sebelum sistem baharu boleh mula beroperasi.
Bagaimanapun, Armizan berkata penutupan sementara Muka Sauk Kabang tidak bermaksud gangguan bekalan air akan berlaku sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, LRA Limbahau dan EWSS masih boleh beroperasi menggunakan sumber air mentah dari Muka Sauk Limbahau selagi kualiti air berada pada tahap sesuai untuk dirawat.
“Namun sekiranya kandungan klorida meningkat sehingga air mentah tidak lagi sesuai untuk dirawat, pengeluaran air mungkin berkurangan dan berisiko menyebabkan tekanan rendah atau gangguan bekalan sementara di beberapa kawasan,” katanya.
Armizan berkata kerajaan memahami kesan gangguan bekalan air berlarutan terhadap penduduk, termasuk urusan keluarga, persekolahan, perniagaan dan kesihatan.
Katanya, persediaan awal akan dibuat bagi mengurangkan kesan sekiranya gangguan berlaku sepanjang tempoh penutupan sementara Muka Sauk Kabang.
“Sekiranya gangguan berlaku dalam tempoh penutupan sementara muka sauk Kabang ini, kita akan menyelaras penghantaran air menggunakan lori tangki serta pengisian tangki statik di kawasan yang terjejas.
“Pelan Pencepatan ini perlu diselesaikan supaya kita tidak terus berdepan keadaan yang sama pada masa hadapan.
“Keutamaan kita adalah memastikan baki kerja disiapkan mengikut jadual, pada masa sama meminimumkan kesannya kepada masyarakat,” katanya.
Apabila siap kelak, Muka Sauk Kabang akan menjadi antara komponen penting dalam usaha membina sistem bekalan air yang lebih stabil dan berdaya tahan bagi daerah Papar.
Armizan berkata projek itu akan meningkatkan kapasiti sedia ada daripada 9 juta liter kepada 30 juta liter sehari, selain menjadi sumber air mentah alternatif kepada LRA Limbahau dan EWSS.
Katanya, sumber air dari Muka Sauk Kabang boleh digunakan apabila sumber di Muka Sauk Limbahau terjejas akibat kadar kemasinan, kekeruhan atau kandungan ammonia yang melebihi tahap selamat.
Projek yang dimulakan pada 10 Mac 2025 itu bagaimanapun sering berdepan gangguan akibat keadaan cuaca, paras sungai dan keadaan sumber air mentah.
Menurut Armizan, kerja di tapak pernah terhenti selama 46 hari akibat masalah saliniti, selain berdepan 71 hari hujan.
Katanya, dalam keadaan tertentu, Muka Sauk Kabang sedia ada juga perlu terus digunakan bagi memastikan bekalan air mentah kepada kedua-dua loji tidak terputus.

