KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu memerlukan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan jumlah wakil dari kedua-dua negeri berkenaan ditambah.
Katanya, persetujuan secara prinsip mengenai perkara itu telah dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu.
“Walaupun dalam perjanjian MA63 itu dengan penyertaan Singapura, satu pertiga adalah Singapura, Sabah dan Sarawak.
“Sekarang ini tentunya kurang. Jadi keputusan kita adalah mesti menambah nisbah Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Anwar berkata peningkatan itu bukan hanya membabitkan penambahan jumlah kerusi Parlimen, tetapi juga nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak.
Ditanya sama ada kerajaan menyasarkan 40% kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri itu, beliau berkata perkara tersebut perlu diperincikan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Perkara itu perlu dibincangkan, termasuk mekanismenya dengan SPR,” katanya.
Anwar berkata masih belum dapat dipastikan sama ada penambahan berkenaan dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana ia memerlukan rundingan dan pindaan Perlembagaan.
Sementara itu, mesyuarat MTPMA63 turut membincangkan usaha mempercepatkan penambahan perjawatan serta proses Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata pelaksanaan perkara itu adalah antara yang diperakui menerusi MA63 dan Suruhanjaya Cobbold.
“Fasa pertama pelaksanaan perkara itu telah diselesaikan, manakala fasa kedua akan disegerakan termasuk pelantikan anak Sabah dan Sarawak ke jawatan utama,” katanya

