KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan kepada negeri itu dapat diselesaikan dan disegerakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Bil. 1/2026, pada Khamis.
Menurutnya, Kerajaan Sabah berharap tuntutan berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan.
"Kerajaan Negeri Sabah ada memohon pertimbangan terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah supaya mendapat pertimbangan yang sewajarnya.
"Kita ingin supaya perkara ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak selepas mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah peruntukan kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini sebagai langkah interim.
Menurut Perdana Menteri, rundingan mengenai perkara tersebut akan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara serta peruntukan seperti yang terkandung dalam perjanjian asal.
"Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini RM1.5 bilion sebagai langkah interim.
"Rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal," katanya.
Anwar berkata, kerajaan dijangka membawa kertas berkaitan perkara itu ke Parlimen pada Oktober sebelum tambahan RM1.5 bilion tersebut disalurkan kepada Sabah, kemungkinan pada akhir Oktober atau awal November.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Jemaah Menteri pada Rabu lalu bersetuju dan meluluskan prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dengan meningkatkan nisbah perwakilan mereka.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.

