Anwar mahu MA63 diangkat sebagai naratif nasional
18:09 Sep 11, 2026  |  By SabahKini2
Anwar mahu MA63 diangkat sebagai naratif nasional

Anwar berkata perkara berkaitan MA63 perlu difahami dan diterima oleh rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada polisi serta komitmen negara dalam memperkukuh keutuhan Malaysia.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan sebagai naratif nasional, bukan lagi dilihat sebagai isu yang hanya membabitkan Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan rakyat memahami bahawa komitmen terhadap MA63 merupakan sebahagian daripada dasar nasional Kerajaan MADANI yang berkait rapat dengan pembangunan, kestabilan serta keutuhan Malaysia.

Anwar berkata perkara berkaitan MA63 perlu difahami dan diterima oleh rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada polisi serta komitmen negara dalam memperkukuh keutuhan Malaysia.

“Saya dah cadangkan supaya perbincangan MA63 itu dijadikan naratif nasional. Ia amat penting sebab kalau tidak, ia jadi macam sektoral.

“Setiap tahun kita kena bincang khas Sabah, Sarawak. Tidak. Ini merupakan komitmen negara tentang pembangunan, tentang kestabilan, tentang apa kita janji kemerdekaan Malaysia.

“Itu harus dimeterai sebagai naratif nasional. Kita kena ajak rakyat Malaysia agar tidak bicara soal kaum dia sahaja atau pun parti dia sahaja atau kelompok dia, tetapi bicara sebagai satu wacana untuk memberikan keutuhan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Anwar turut menegaskan rakyat di Semenanjung tidak seharusnya melihat sebarang penambahan peruntukan atau pelaksanaan perkara berkaitan MA63 sebagai pertimbangan khas semata-mata untuk Sabah dan Sarawak.

Sebaliknya, beliau mahu perkara itu dilihat dalam konteks komitmen negara terhadap asas pembentukan Malaysia.

Sementara itu, Abang Johari menyambut baik pendekatan untuk menjadikan MA63 sebagai sebahagian daripada kerangka nasional.

Beliau berkata langkah berkenaan penting bagi menyelaraskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dengan usaha memperkukuh keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu.

“Kita hendak menyelaraskan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan juga keutuhan negara Malaysia sebagai a united nation, a united Malaysia (negara yang bersatu, Malaysia yang bersatu) yang akan meneruskan usaha kita untuk membangunkan negara,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu lebih praktikal bagi memastikan kepentingan Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak dapat diseimbangkan, termasuk dalam aspek kewangan serta pembangunan negara.

Langkah menjadikan MA63 sebagai naratif nasional dilihat dapat memperluas kefahaman rakyat terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia, selain memastikan pelaksanaan perkara berkaitan perjanjian itu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh Persekutuan.

Comment