BEAUFORT: Komponen tembaga bernilai kira-kira RM25,000 dipercayai dicuri dari Pencawang Sabah Electricity Bandar Mingo, di sini.
Kejadian disedari selepas pintu pencawang berkenaan ditemukan mempunyai kesan diumpil.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, antara komponen yang dilaporkan hilang ialah busbar earthing dan sambungan busbar.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6 September lalu.
“Kes kecurian komponen tembaga di pencawang Sabah Electricity semakin kerap berlaku di daerah ini.
“Perbuatan berkenaan bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada syarikat terbabit, malah berpotensi mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna,” katanya.
Champin berkata, polis kini giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha serta pembeli barangan lusuh supaya tidak menerima atau membeli tembaga pada harga yang tidak munasabah.
Katanya, mereka juga perlu mengelak daripada membeli barangan yang diperoleh daripada sumber meragukan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis atau Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) bagi membantu siasatan,” katanya.

