KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkukuh pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta sektor koperasi di Sabah.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, usaha itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurutnya, pertemuan berkenaan turut membincangkan bentuk kolaborasi antara kerajaan Persekutuan menerusi KUSKOP dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkasa ekosistem keusahawanan serta koperasi di negeri itu.
“KUSKOP juga membantu menyediakan ruang niaga bagi memperluas peluang perniagaan kepada penjaja dan usahawan kecil di Sabah,” katanya.
Mohamad berkata, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan lebih banyak peluang dapat diwujudkan kepada golongan usahawan, khususnya dalam sektor PMKS.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput Hajiji untuk merasmikan majlis penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Sabah yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober 2026 di Kota Kinabalu.
Katanya, Hajiji dijadual menyempurnakan majlis penutupan karnival pada 25 Oktober, yang dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung.
Kunjungan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal serta wakil TEKUN Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Bank Rakyat.

