Sabah peruntuk hampir RM1 bilion pacu pertanian, industri dan pelancongan
16:08 Aug 17, 2026  |  By SabahKini2
Sabah peruntuk hampir RM1 bilion pacu pertanian, industri dan pelancongan

Hajiji berkata, Ekonomi Biru turut dilihat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, khususnya di kawasan luar bandar, mengambil kira kekayaan sumber marin, biodiversiti serta kawasan pesisir pantai yang luas di Sabah.

KENINGAU: Kerajaan Sabah memperuntukkan hampir RM1 bilion tahun ini bagi pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan yang terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap Pegawai Daerah perlu mengenal pasti potensi ekonomi di kawasan masing-masing bagi memastikan ia dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat.

Menurutnya, kekuatan setiap daerah adalah berbeza, termasuk dalam sektor pertanian, pelancongan, sumber marin, industri dan perdagangan.

“Ada daerah yang mempunyai kekuatan dalam pertanian. Ada yang mempunyai potensi pelancongan. Ada yang mempunyai sumber marin. Ada juga yang mempunyai potensi dalam industri dan perdagangan. Potensi ini perlu dikenal pasti dan dibangunkan secara terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-29 di Keningau, pada Isnin.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru turut dilihat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, khususnya di kawasan luar bandar, mengambil kira kekayaan sumber marin, biodiversiti serta kawasan pesisir pantai yang luas di Sabah. Potensi berkenaan perlu dimanfaatkan secara berhemah bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu dan meningkatkan pendapatan masyarakat.

“Saya berharap Pegawai Daerah dapat membantu mengenal pasti potensi itu dan memudah cara pelaburan yang sesuai dengan keperluan serta kekuatan setiap daerah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri menyediakan siling peruntukan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion tahun ini bagi 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Jumlah itu merupakan siling peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah.

Daripada keseluruhan projek berkenaan, sebanyak 241 adalah projek sambungan manakala 932 lagi merupakan projek baharu.

“Semakin besar peruntukan yang disediakan, semakin besar juga tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu setiap Pegawai Daerah memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan projek dan program di kawasan masing-masing dengan pemantauan dibuat secara berterusan. Sebarang masalah perlu dikenal pasti pada peringkat awal, manakala kelewatan pelaksanaan perlu disiasat bagi menentukan punca dan tindakan sewajarnya.

Hajiji turut mengingatkan Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil supaya tidak hanya mengukur kejayaan pembangunan berdasarkan jumlah projek yang diluluskan atau disiapkan. Sebaliknya, impak sebenar kepada rakyat perlu menjadi ukuran utama.

“Kita perlu melihat kepada impak untuk rakyat. Adakah masalah rakyat telah diselesaikan, kemudahan mereka bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan adakah kualiti hidup rakyat meningkat? Inilah ukuran sebenar kejayaan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata pembangunan luar bandar akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik. Turut diberi perhatian ialah aspek perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan serta pembangunan ekonomi masyarakat.

“Kita mahu jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar atas pembangunan Aplikasi Online Rumah Mesra Sabah Maju Jaya yang disifatkan sebagai langkah penting dalam menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih cepat, telus dan mesra rakyat.

Katanya, aplikasi berkenaan perlu terus diperkasakan, termasuk dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat, membuat permohonan serta menjalankan semakan.

Hajiji turut menegaskan keperluan untuk memperkukuh budaya kerja dalam pentadbiran daerah dengan mengutamakan perkhidmatan pantas, keputusan tepat dan tadbir urus yang baik.

“Kita tidak boleh setiap kali berlaku perubahan, perancangan pembangunan turut berubah. Rakyat memerlukan kesinambungan manakala pelabur memerlukan keyakinan dan jentera kerajaan memerlukan hala tuju yang jelas,” katanya.

Menurutnya, kejayaan kerajaan tidak hanya boleh diukur berdasarkan dasar yang diumumkan atau jumlah peruntukan yang disediakan, sebaliknya melalui perubahan yang dapat dilihat dan dirasai rakyat.

“Apabila jalan menjadi lebih baik, bekalan air bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan kehidupan rakyat menjadi lebih sejahtera, maka itulah hasil sebenar pembangunan,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh jentera pentadbiran negeri memperkukuh peranan Pejabat Daerah sebagai institusi yang cekap, responsif, berintegriti dan dekat dengan rakyat.

Hajiji yakin dengan komitmen seluruh jentera kerajaan, kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan bagi menjayakan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 demi masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera.

Comment