KENINGAU: Pegawai daerah dan pegawai daerah kecil di Sabah diminta lebih responsif dan proaktif dalam menangani isu di peringkat akar umbi, termasuk tidak menunggu sesuatu masalah menjadi besar sebelum mengambil tindakan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pegawai daerah juga perlu berani mengambil pendekatan baharu jika ia mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Setiap tindakan bagaimanapun mesti dibuat berlandaskan peraturan, tatakelola dan kepentingan rakyat.
“Jika terdapat isu, ambil tindakan lebih awal. Jika memerlukan penyelarasan dengan agensi lain, lakukan segera. Jika terdapat potensi yang boleh dibangunkan, bantu memudahkannya. Pendekatan seperti ini perlu menjadi budaya kerja dalam pentadbiran daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Sabah Kali Ke-29 di sini, hari ini.
Hajiji berkata tema persidangan tahun ini, ‘Memacu Inovasi, Memperkasa Komuniti’, bertepatan dengan keperluan pentadbiran awam ketika ini yang berdepan perubahan teknologi, ekonomi global dan sosial yang pantas. Peningkatan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam turut menuntut kerajaan memperbaiki cara bekerja supaya lebih cekap dan responsif.
“Pentadbiran kerajaan perlu lebih cekap, responsif dan berpaksikan kepada keperluan rakyat,” katanya.
Menurut Hajiji, pejabat daerah memainkan peranan penting dalam memastikan dasar, program dan projek kerajaan diterjemahkan kepada tindakan di lapangan.
“Pegawai daerah bukan sahaja berperanan menyelaras pembangunan daerah, tetapi turut menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri meneruskan agenda pembangunan Sabah menerusi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang merupakan kesinambungan kepada asas pembangunan sebelum ini. Bagaimanapun, kejayaan agenda itu tidak hanya bergantung kepada perancangan kerajaan negeri tetapi juga keupayaan seluruh jentera kerajaan melaksanakannya.
“Pejabat daerah merupakan antara institusi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Oleh itu, peranan saudara dan saudari dalam memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat adalah sangat besar,” katanya.
Hajiji turut menegaskan pembangunan negeri perlu dilihat untuk jangka panjang, terutama selepas Sabah melalui pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi dalam tempoh lima tahun lalu.
Katanya, apa yang telah dibangunkan perlu diteruskan dan diperkukuhkan, manakala kesinambungan dasar serta kestabilan pentadbiran amat penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Pembangunan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Ia memerlukan perancangan yang konsisten, dasar yang jelas dan jentera kerajaan yang mampu melaksanakan perancangan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji mahu semua peringkat jentera kerajaan memahami hala tuju pembangunan Sabah dan memastikan peruntukan serta projek yang dikenal pasti dilaksanakan dengan penyelarasan dan disiplin.
“Apa yang diperlukan ialah penyelarasan, disiplin pelaksanaan dan komitmen untuk memastikan semua perancangan tersebut menghasilkan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pegawai daerah bahawa kelewatan projek tidak boleh dianggap perkara biasa kerana ia memberi kesan kepada rakyat.
“Jika terdapat masalah dalam pelaksanaan, kita perlu bertindak lebih awal. Jika terdapat isu penyelarasan, kita perlu duduk bersama dan mencari penyelesaian. Matlamat kita adalah memastikan setiap projek yang dirancang dapat memberikan manfaat kepada rakyat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

