KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu pelaksanaan projek kecil yang berimpak tinggi dan berkos rendah disegerakan bagi menyelesaikan isu keperluan rakyat yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara isu yang dibangkitkan Ahli DUN termasuk bekalan air dan elektrik, jalan raya, banjir, sistem saliran serta pendidikan.
Menurutnya, sebahagian isu berkenaan boleh diselesaikan melalui pelaksanaan projek kecil yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dalam tempoh lebih singkat.
“Semua isu ini adalah berkaitan dengan keperluan kehidupan rakyat dan sebahagiannya boleh diselesaikan melalui pelaksanaan projek-projek kecil.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi kepentingan pelaksanaan projek-projek berkenaan sebagai pemangkin strategik pembangunan Sabah.
“Walaupun projek-projek mega penting untuk pertumbuhan jangka panjang, projek-projek kecil ini mampu memberikan impak segera yang dapat dirasai oleh rakyat dan kerajaan dalam tempoh yang lebih singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di sini pada Isnin.
Hajiji berkata, semua isu berkaitan pelaksanaan projek kecil perlu diselesaikan segera bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual.
“Rakyat menaruh harapan yang tinggi agar manfaat pembangunan ini dapat dinikmati tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana supaya memperkukuh komitmen, kerjasama serta penyelarasan strategik bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap, teratur dan mengikut jadual ditetapkan.
Katanya, mesyuarat MTPNg perlu dimanfaatkan sebagai platform perbincangan yang konstruktif serta berorientasikan penyelesaian dan tindakan bagi menangani setiap isu pelaksanaan secara proaktif.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan dasar, program dan projek pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Sabah.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0, pelaksanaan projek-projek pembangunan perlu terus diperkasakan melalui penyelarasan yang lebih sistematik dan bersepadu antara kementerian, jabatan serta agensi pelaksana.
“Semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana perlu terus memperkukuh kerjasama dan komunikasi antara agensi di samping mengoptimumkan perkongsian maklumat dan amalan terbaik.
“Saya yakin melalui iltizam dan sinergi yang kukuh, kita mampu memastikan setiap projek pembangunan dapat disempurnakan dengan jayanya, sekali gus mempercepatkan kemajuan negeri Sabah serta meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup seluruh rakyat,” katanya.
Mesyuarat MTPNg itu turut disertai buat kali pertama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri baharu, Datuk Zainudin Aman, bersama Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah ICU JPM Sabah, Datuk Samsul Dollah.

