Sabah terus bawa tuntutan 40% hasil menerusi rundingan G to G
15:08 Aug 10, 2026  |  By SabahKini2
Sabah terus bawa tuntutan 40% hasil menerusi rundingan G to G

Beliau berkata tuntutan itu merupakan antara hak terbesar Sabah di bawah MA63 dan termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus menuntut hak 40% hasil Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi rundingan kerajaan dengan kerajaan (G to G), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata tuntutan itu merupakan antara hak terbesar Sabah di bawah MA63 dan termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan penuh pembayaran 40% melalui proses rundingan G to G dengan kerajaan Persekutuan.

“Hak 40% merupakan hak terbesar kita dalam MA63 dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak ini mesti ditunaikan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-32 UPKO dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17, di sini kelmarin.

Katanya, pendirian Sabah mengenai tuntutan itu turut dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 di Putrajaya pada 3 Ogos lalu.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Ewon Benedick sebagai sebahagian delegasi kerajaan negeri.

Hajiji berkata, setakat ini 13 tuntutan berkaitan MA63 telah dilaksanakan, termasuk kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan laut dalam serta pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

Turut dilaksanakan ialah perkara berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar.

Mengenai tuntutan 40% hasil, Hajiji berkata pelaksanaannya masih belum penuh, termasuk satu rayuan oleh kerajaan Persekutuan yang masih berjalan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menerima bayaran interim yang kini dinaikkan daripada RM26 juta kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini.

“Kita mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri meningkatkan jumlah bayaran interim ini.

“Kita akan menggunakan hasil ini untuk membina lebih banyak jalan raya berturap, jambatan konkrit, menambah baik bekalan air dan elektrik serta agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah,” katanya.

Menurut Hajiji, peruntukan itu turut digunakan bagi pembinaan lebih banyak Rumah SMJ dan pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).

“Pendek kata, apa yang kita perolehi daripada kerajaan Persekutuan akan kita pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kutipan hasil negeri berjaya dikekalkan sekitar RM7 bilion setahun sejak 2022 dan dijangka meningkat kepada RM8 bilion tahun ini.

Katanya, Sabah turut berjaya memperkukuh daya tahan ekonominya dalam menghadapi cabaran domestik dan global, sekali gus meningkatkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik.

“Pada 2025 sahaja, sebanyak RM7.6 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan direkodkan, iaitu hampir 208% berbanding 2024,” katanya.

Beliau berkata peningkatan pelaburan itu dijangka memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Sabah serta manfaat ekonomi kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Dalam sektor minyak dan gas, Hajiji berkata kerjasama strategik kerajaan negeri dengan PETRONAS melalui Commercial Collaborative Agreement (CCA) turut meningkatkan pegangan ekuiti Sabah dalam penerokaan dan pembangunan industri berkenaan.

Katanya, Sabah kini memuktamadkan usaha mendapatkan 40% ekuiti dalam projek fasiliti Gas Asli Cecair Terapung (FLNG), selain 30% pegangan dalam dua lapangan minyak dan gas baharu di Pantai Timur.

“Insya-Allah, perjanjian untuk perkongsian ini akan dimeterai dalam waktu terdekat,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri turut merancang membangunkan taman perindustrian baharu termasuk di Kota Belud serta Hab Ekonomi Biru di Kudat bagi menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan aktiviti rantaian ekonomi domestik.

Comment