Maritim Malaysia tahan bot nelayan, 10 kru tiada dokumen sah
17:08 Aug 05, 2026  |  By SabahKini2
Maritim Malaysia tahan bot nelayan, 10 kru tiada dokumen sah

Bot nelayan tempatan itu ditahan dalam operasi penguatkuasaan kira-kira jam 5.36 petang pada Rabu di kedudukan dua batu nautika tenggara Pulau Tiga sebelum diiring ke Jeti Maritim Malaysia bagi tujuan siasatan lanjut.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 10 kru bot nelayan warga asing selepas didapati bekerja tanpa dokumen pengenalan diri yang sah selain bot yang mereka naiki disyaki beroperasi menggunakan lesen perikanan yang telah tamat tempoh.

Bot nelayan tempatan itu ditahan dalam operasi penguatkuasaan kira-kira jam 5.36 petang pada Rabu di kedudukan dua batu nautika tenggara Pulau Tiga sebelum diiring ke Jeti Maritim Malaysia bagi tujuan siasatan lanjut.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan 10 kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada sembilan warga Filipina dan seorang warga Indonesia berusia antara 23 hingga 53 tahun.

Menurutnya, semua kru terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah seperti yang dikehendaki mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati bot berkenaan disyaki beroperasi menggunakan lesen perikanan yang telah tamat tempoh, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semua kru bersama bot nelayan itu kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Malaysia bagi membantu siasatan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot nelayan berkenaan dianggarkan hampir RM300,000.

Dalam pada itu, Mohd Khairulanuar menegaskan Maritim Malaysia memandang serius setiap pelanggaran undang-undang di perairan negara dan akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi.

Beliau turut mengingatkan semua pemilik vesel, pengusaha dan kru supaya memastikan lesen perikanan, permit operasi serta dokumen pengenalan diri sentiasa sah dan masih berkuat kuasa sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.

"Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan bukan sahaja satu kesalahan di sisi undang-undang, malah boleh menyebabkan vesel ditahan serta kru ditangkap dan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Jangan sesekali memandang ringan pematuhan terhadap undang-undang. Maritim Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau cuba mengambil kesempatan di perairan negara," tegasnya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan perairan negara, melindungi sumber perikanan serta mengekalkan kedaulatan Zon Maritim Malaysia.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Comment