Tiga ditahan, rampasan minyak masak bersubsidi cecah RM160,000
18:08 Aug 04, 2026  |  By SabahKini2
Tiga ditahan, rampasan minyak masak bersubsidi cecah RM160,000

Turut dirampas sebuah bot, lori Isuzu tiga tan dan minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM160,469.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggagalkan cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran dalam serbuan di tepi Sungai Siguntur, Sibugal Besar, petang semalam.

Dalam operasi kira-kira 4.30 petang itu, tiga individu ditahan.

Turut dirampas sebuah bot, lori Isuzu tiga tan dan minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM160,469.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan kerana ia menjejaskan bekalan barangan bersubsidi untuk rakyat selain menyebabkan kerugian kepada negara.

"PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Amri, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam mengekang kegiatan penyeludupan barang kawalan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

Beliau berkata sebanyak 95 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 direkodkan PPM Wilayah 4 Sabah bagi tempoh Januari hingga 3 Ogos lalu, membabitkan 91 tangkapan.

"Nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh itu melebihi RM25 juta," katanya.

Beliau berkata PPM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan barang kawalan secara menyeluruh.

Katanya, kerjasama strategik itu penting bagi memastikan bekalan barangan bersubsidi terus dinikmati rakyat selain melindungi kepentingan serta hasil negara.

Comment