Bukti baharu Shafie Apdal lupus RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee, EY pula disaman penipuan Audit SD Bank
14:08 Aug 03, 2026  |  By SabahKini2
Bukti baharu Shafie Apdal lupus RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee, EY pula disaman penipuan Audit SD Bank

Terbongkar lagi mengenai pelupusan hutang RM178 juta kroni Shafie Apdal, pemberian pinjaman baru kepada syarikat NPL serta saman terhadap EY berhubung penipuan audit SD Bank.

APA YANG BERLAKU KEPADA SDB?


SHAFIE PERSOAL LAGI RPS RM200 JUTA SDB, KERAJAAN JAWAB BUKAN 'BAILOUT'

Setiap kali Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal buka mulut mengenai Sabah Development Bank (SDB) maka setiap itulah kebodohannya terus terserlah.

Baru-baru ini sekali lagi Shafie Apdal membangkitkan isu Sabah Development Bank (SDB) dengan mempersoalkan keputusan Kerajaan Negeri menukar Deposit Tetap (FD) berjumlah RM200 juta kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares, RPS) dalam SDB. Menurut beliau, langkah itu menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar penukaran berkenaan kerana dana yang sebelum ini berbentuk deposit kini dijadikan instrumen modal bank. Shafie turut mengaitkan langkah itu dengan penstrukturan semula Sabah International Petroleum (SIP) dan mempersoalkan sama ada ia merupakan satu bentuk "bailout" menggunakan dana awam.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Sabah menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa tiada sebarang suntikan dana baharu dibuat ke dalam SDB. Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd Ishak Ayub menjelaskan bahawa RM200 juta itu sememangnya telah berada dalam SDB sebagai deposit tetap milik kerajaan negeri. Penukaran kepada RPS dibuat bagi memperkukuh asas modal bank, selain membolehkan kerajaan memperoleh pulangan dividen tahunan sebanyak 3.15 peratus atau kira-kira RM6.3 juta setahun.

Menurut kerajaan, langkah berkenaan bukan bertujuan menyelamatkan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan keputusan pengurusan risiko kewangan bagi melindungi institusi kewangan milik penuh kerajaan negeri. Kerajaan turut menjelaskan bahawa kegagalan SDB akan mendedahkan Sabah kepada liabiliti kira-kira RM3 bilion melibatkan bon dan obligasi kewangan lain. Justeru, pengukuhan modal melalui RPS disifatkan sebagai langkah yang lebih bertanggungjawab berbanding membiarkan bank berdepan risiko yang lebih besar.

Menerusi penstrukturan semula yang berdisiplin termasuk penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM900 juta serta pemindahan 10 peratus kepentingan ekuiti SIP dalam LNG9 kepada SMJ Energy, SIP kini bebas daripada hutang dan mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh.

Faktanya SDBank, SIP dan SMJ Energy dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah. Jadi tidak timbul isu ‘bailout’.

Kerajaan turut menjelaskan bahawa sejak separuh kedua tahun 2023, pengurusan baharu SDB telah melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk mengiktiraf kemerosotan nilai aset legasi, memperkukuh tadbir urus dan melaksanakan program transformasi menyeluruh. Walaupun langkah tersebut memberi kesan kepada prestasi kewangan dalam jangka pendek, ia dikatakan berjaya meningkatkan ketelusan kedudukan kewangan bank. Malah, instrumen hutang SDB masih mengekalkan penarafan AA1/Stable/P1 daripada RAM Ratings, mencerminkan keyakinan terhadap kedudukan strategik bank dan sokongan Kerajaan Negeri.

Mengapa agaknya Shafie juga isu SD Bank? Apakah dia nampak sesuatu yang boleh dia gunakan untuk menyerang kerajaan GRS?

Oleh kerana Shafie Apdal gemar kepada SD Bank maka kita buka semula isu SD Bank ditangan Shafie dan Bekas CEO SDB Mohd Hassanel Jarai.

APA SHAFIE APDAL BUAT TERHADAP SABAH DEVELOPMENT BANK (SDB)?

Shafie Apdal bising penukaran RM200 juta kepada RPS tapi dia lupa ketika dia sebagai Ketua Menteri Sabah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) meningkat, pelupusan NPL kepada syarikat kroni seperti Syarikat Datuk Ambrose Lee, mencipta pinjaman baru menutup hutang lama dan sukuk yang gagal.

Hari ini  di bawah pengurusan baru SD Bank berjaya memperoleh semula sekitar RM3.3 bilion secara tunai daripada portfolio NPL yang zaman Warisan dulu. Isu RPS hanyalah satu bahagian penyelesaian

 

5 PERKARA CARA SHAFIE APDAL CUBA LINGKUPKAN SABAH DEVELOPMENT BANK

SDB DALAM TEMPOH KEPIMPINAN SHAFIE APDAL (MEI 2018 – SEPTEMBER 2020)

Sebelum ini Sabahkini2 dalam artikel SD Bank: Terbongkar Shafie luluskan Sukuk RM10B, lupus RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee, peminjam NPL diberi hutang baru! telah menjelaskan namun tidak diperincikan syarikat yang terlibat. 

SD Bank: Terbongkar Shafie luluskan  Sukuk RM10B, lupus RM178 juta hutang CASH Bhd milik Datuk Ambrose Lee,  peminjam NPL diberi hutang baru!


Kali ini Sabahkini2 memperincikan semua syarikat terlibat yang sebelum ini tidak pernah didedahkan. 

 

PERTAMA : RM192 JUTA PINJAMAN DILULUSKAN KINI MENJADI NPL

Sepanjang tempoh Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah antara Mei 2018 hingga September 2020, Sabah Development Bank (SDB) meluluskan sekurang-kurangnya RM192 juta pinjaman kepada empat syarikat yang kemudiannya bertukar menjadi Pinjaman Tidak Berbayar (Non-Performing Loan, NPL). Pinjaman tersebut melibatkan sektor petroleum, perhutanan, pembinaan dan pertanian.

4 Syarikat termasuk SFI. Apa jadi kepada SFI?

Kes terbesar melibatkan Sabah Forest Industries (SFI) apabila pinjaman RM93.8 juta yang diluluskan pada Julai 2019 akhirnya turut menjadi pinjaman bermasalah.

Apa jadi kepada SFI? Dua bulan sebelum itu Shafie Apdal menamatkan lesen konsesi Syarikat Pelangi Prestasi Sdn Bhd milik Tan Sri Syed Mokhtar yang menyebabkan SFI diheret ke mahkamah. Akhirnya gaji tidak dibayar. Grant Thornton (GTC) receiver bersekongkal dengan Shafie tidak menunaikan tanggungjawabnya sehingga SFI digulung. GTC terbukti bersalah dan dituduh pecah amanah menyeleweng dana 10%  atau RM120 juta wang Syarikat Pelangi Prestasi Sdn Bhd. Kes berlarutan ke mahkamah hingga kini selepas SFI digulung!

Persoalan siapa bayar hutang SFI ini? Akhirnya RM93.8 juta itu lupus begitu saja.

 

KEDUA: RM408 JUTA PINJAMAN DIHAPUS KIRA WALAUPUN BELUM MENCAPAI TEMPOH 10 TAHUN

Pinjaman sepatutnya dihapus kira apabila dianggap tidak dapat dikutip, iaitu semua tindakan pemulihan telah dijalankan atau tidak lagi berbaloi pada masa hadapan, biasanya selepas 10 tahun ia menjadi NPL

Pada 29 November 2019, Lembaga Pengarah SDB meluluskan penghapusan kira 40 pinjaman legasi bernilai RM408 juta, sekali gus menurunkan kadar NPL bank daripada 16.19% kepada 11.01%.

Bagaimanapun, semakan juruaudit mendapati sebahagian pinjaman tersebut dihapus kira walaupun belum mencapai tempoh lazim sekitar 10 tahun sebagai NPL. Daripada lima peminjam utama Tahap 3 yang dihapus kira, dua daripadanya belum pun menjadi NPL selama 10 tahun.

Antara peminjam utama seperti berikut;-

5 Syarikat termasuk CASH BERHAD

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Datuk Peter Siau dan turut dihadiri Datuk Kevin How, Petrus Gimbad serta CEO SDB ketika itu, Mohd Hassanel Jarai.

Construction and Supplies House Berhad merupakan salah satu daripada lima syarikat senarai awam yang didakwa mendapat manfaat daripada SD Bank. Semakan juga menunjukkan bahawa daripada lima syarikat tersebut, dua telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia manakala tiga lagi telah melalui proses penjenamaan semula (pertukaran nama). Kesemua syarikat berkenaan dikaitkan dengan tokoh korporat atau taikun perniagaan yang berpengaruh, menjadikan sejarah dan struktur pemilikan syarikat-syarikat tersebut terus menjadi perhatian dalam penelitian terhadap transaksi korporat yang lalu.

 


REKOD CHARGE CASH BHD

CASH merupakan  syarikat yang pernah tersenarai di Bursa Malaysia dan diperbadankan pada 5 Mei 1959. Syarikat ini diasaskan oleh Datuk Joseph Lee Yok Min @ Ambrose Lee, yang turut menjadi tokoh utama dalam pengurusan serta pemegang saham utama syarikat tersebut. Rekod korporat menunjukkan beliau mempunyai kepentingan tidak langsung yang signifikan dalam syarikat, manakala barisan Lembaga Pengarah ketika itu terdiri daripada Datuk Abdul Mulok bin Haji Awang Damit, Datuk Joseph Lee Yok Min @ Ambrose, Pius Lee Fu Min, Darmendran Kunaretnam dan Looi Tuck Meng.

 

Antara anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh CASH ialah Cash Builders Sdn. Bhd., sebuah syarikat kontraktor yang beroperasi di bawah kumpulan tersebut yang juga mempunyai caj di SD Bank.

Rekod menunjukkan Construction & Supplies House Bhd mempunyai caj pinjaman Sabah Development Bank (SDB)  berjumlah kira-kira RM310 juta. Namun, rekod dalaman bank pula menunjukkan baki hutang syarikat tersebut yang dilupus kira berjumlah RM178 juta

Hari ini, Datuk Joseph Lee Yok Min @ Ambrose (Datuk Ambrose Lee) merupakan Pengarah Urusan (Managing Director) serta antara pemegang saham terbesar Borneo Oil Berhad. Beliau memiliki pegangan langsung sebanyak 5.152% dan turut mempunyai pegangan tidak langsung sebanyak 8.807%, selain pegangan yang diuruskan melalui beberapa akaun nominee. Datuk Ambrose Lee terus bergandingan dengan Georgia Suzanne Lingam @ Georgianne, yang kini merupakan Pengarah Eksekutif Borneo Oil Berhad. Selain menerajui Borneo Oil Berhad, kedua-duanya turut mengendalikan rangkaian SugarBun Destination Centres di Kota Kinabalu serta beberapa syarikat lain yang beroperasi di Sabah.

 

 

Hubungan Datuk Seri Shafie Apdal dengan Datuk Joseph Lee Yok Min @ Ambrose (Datuk Ambrose Lee) memang tidak boleh dipisahkan sejak kontroversi Yayasan Sabah lagi.

19 jun tahun lalu Shafie Apdal menafikan laporan Sabahkini2 bahawa beliau melupuskan pinjaman tidak berbayar (NPL) RM178 juta kepada syarikat CASH Bhd semasa mengetuai pentadbiran Sabah. Beliau berkata mahu menyaman Sabahkini2 namun setakat ini tiada apa yang telah dilakukannya 

Shafie menegaskan tiada satu NPL yang dilupuskan sepanjang beliau menjadi ketua menteri dan pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Development Bank (SDB) dari Mei 2018 hingga September 2020. 

“Tuduhan saya melindungi kroni atau memberi layanan istimewa kepada peminjam yang mempunyai hubungan politik adalah satu pembohongan. Saya tidak pernah campur tangan dalam kelulusan pinjaman atau urusan kewangan bank.

“Justeru dakwaan kononnya saya ‘melupuskan pinjaman RM178 juta kepada CASH Bhd’ adalah satu pemutarbelitan fakta disengajakan,” katanya sambil menegaskan akan mengambil tindakan terhadap pihak menyebarkan fitnah itu.

Namun Sabahkini2 telah mendedahkan semua  butiran syarikat termasuk milik Datuk Ambrose Lee yang dilupuskan oleh Shafie Apdal. Di mana yang tidak benarnya. Ini disokong oleh ucapan Datuk Seri Masidi Manjun Menteri Kewangan  sebelum ini mengenai pulupusan NPL dan pemberian hutang baru di Sidang DUN.

 

KETIGA: PENCIPTAAN PINJAMAN BAHARU UNTUK MENUKAR STATUS NPL

(a) Era Universe Development Sdn Bhd

Dalam sidang DUN, Shafie Apdal mendakwa beliau mengarahkan tindakan undang-undang terhadap peminjam berjumlah kira-kira RM500 juta syarikat Malaya. Benarkah?. Datuk Seri Masidi Manjun Menteri Kewangan membuktikan Shafie Apdal tidak menyelesaikannya malah syarikat Era Universe Development Sdn Bhd diberi lagi pinjaman tambahan. 

Apa yang berlaku?

  • syarikat tidak dibawa ke mahkamah sepanjang tempoh 2019–2020;
  • pada 23 Ogos 2019, SDB meluluskan pinjaman baharu RM172 juta bagi membiayai faedah tertunggak RM172 juta;
  • tindakan tersebut menukar status pinjaman daripada NPL kepada pinjaman berbayar;
  • enam bulan kemudian akaun tersebut kembali menjadi NPL.

Tindakan undang-undang hanya dimulakan pada Oktober 2023, sebelum ditangguhkan pada Mac 2024 bagi memberi ruang kepada cadangan penyelesaian melalui penjualan aset jaminan yang dianggarkan bernilai sekitar RM320 juta. Kes masih berjalan hingga kini

 

(b) Perspektif Massa Sdn Bhd

Kes melibatkan Perspektif Masa Sdn. Bhd merupakan antara pinjaman terbesar  Sabah Development Bank (SDB) diberi kepada syarikat Semenanjung Malaysia. Syarikat ini ialah anak syarikat Acmar Group, sebuah kumpulan korporat persendirian yang diasaskan pada tahun 1979 oleh Tee Leh Teck dan kini diterajui oleh dua beradik, Dato' Steven Tee, JP sebagai Pengarah Urusan Kumpulan serta Dato' Tee Kim Hock (Johnson Tee), JP sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan. Acmar Group mempunyai kepentingan dalam sektor pembangunan hartanah, hospitaliti, pendidikan, automotif, perdagangan, pergudangan dan logistik, dengan portfolio projek utama di Klang, Puchong dan Ampang. Perspektif Masa Sdn. Bhd. merupakan antara syarikat pemaju hartanah utama dalam kumpulan tersebut.

 

Menurut maklumat :

  • pada 21 Julai 2020, SDB bawah CEO Warisan meluluskan pembiayaan baharu bagi menampung tunggakan sekitar RM773 juta;
  • langkah tersebut menyebabkan akaun yang sepatutnya diklasifikasikan sebagai NPL kembali direkodkan sebagai pinjaman berbayar;
  • pada tahun sama, aset cagaran bank yang dianggarkan bernilai RM600 juta turut diserahkan kepada peminjam tanpa pembayaran bagi aset tersebut.

Walaupun pinjaman tersebut telah lama bermasalah, tindakan undang-undang hanya dimulakan selepas November 2023. Pada April 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan injunksi peminjam bagi menghalang pelantikan Penerima dan Pengurus oleh SD Bank.

Berdasarkan rekod terbaru kini Perspektif Masa Sdn. Bhd berstatus dalam proses penggulungan (Winding Up). Ini bermaksud syarikat sedang melalui proses penggulungan di bawah undang-undang syarikat bagi menyelesaikan urusan aset, liabiliti dan tuntutan pemiutang. Rekod menunjukkan seorang pelikuidasi telah dilantik untuk mengendalikan proses tersebut, menandakan syarikat masih wujud sebagai entiti perundangan tetapi berada dalam fasa penamatan operasi sehingga proses penggulungan diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang.

KEEMPAT: KEDUDUKAN NPL TIDAK BANYAK BERUBAH

Walaupun pelbagai langkah seperti Penghapusan kira (write-off)  dan pembiayaan semula dilaksanakan, jumlah keseluruhan NPL bukan GLC kekal hampir sama pada permulaan dan penghujung pentadbiran Shafie Apdal.

 


Data ini menunjukkan bahawa NPL bukan GLC tidak menunjukkan pemulihan ketara sepanjang tempoh tersebut, manakala pengurangan ketara NPL GLC hanya direkodkan selepas tempoh pentadbiran berkenaan.

CADANGAN SUKUK RM10 BILION BERKAITAN HUTANG SABAH INTERNATIONAL PETROLEUM (SIP) SHAFIE APDAL YANG GAGAL!

Dalam Mesyuarat Lembaga Sabah International Petroleum (SIP) pada 13 Januari 2020 yang dipengerusikan oleh Shafie Apdal, lembaga dimaklumkan bahawa jumlah pinjaman tertunggak SIP mencecah RM1.949 bilion, termasuk RM1.16 bilion kepada SDB dan RM222 juta kepada Sabah Development Berhad.

Bagi menangani kedudukan tersebut:

  • pada Januari 2020, Sabah Development Berhad meluluskan Program Sukuk RM10 bilion;
  • objektifnya ialah pembiayaan semula, pemberian pinjaman kepada anak syarikat, syarikat berkaitan, kerajaan negeri serta pelaburan;
  • bagaimanapun program tersebut tidak mendapat sambutan pasaran;
  • pada Oktober 2023, lembaga meluluskan pembatalannya selepas hanya RM1 juta diterbitkan sebelum ditebus semula.

Cadangan sukuk tersebut tersebut jelas bertujuan untuk membiayai semula kedudukan hutang SIP kepada SDB.

Persoalannya mengapa Shafie Apdal mempersoalkan penggunaan Sukuk Wakalah RM900 juta yang diterbitkan oleh SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) dalam proses pengambilalihan dan penstrukturan semula Sabah International Petroleum (SIP)? 

 

Program Sukuk RM10 bilion! bukan RM900 juta sebagaimana Sukuk dana SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE)  yang Shafie Apdal melalak setiap hari. Hanya sukuk yang dicadang gagal tidak mendapat sambutan mengapa pula Shafie menyerang  SMJ Energy Sdn Bhd? mengapa Shafie Apdal bising-bising mengenai Sukuk sedangkan ia bagus untuk memulihkan SD Bank?

Cukuplah kegembiraan Shafie dapat menyelamatkan taikun-taikun kaya terutama Datuk Ambrose Lee kroni kesayangannya dengan melupuskan RM178 juta syarikat CONSTRUCTION AND SUPPLIES HOUSE BHD (CASH). 

Apa terjadi kepada Sabah Development Bank lagi? 


ERNST & YOUNG PLT (EY)
: PENIPUAN DAN "PERAKAUNAN KREATIF"

Pada 24 Ogos 2024, media melaporkan dakwaan bahawa kerugian besar yang dialami Sabah Development Bank Berhad (SDB) berpunca daripada amalan salah urus serta penggunaan kaedah yang digelar sebagai "perakaunan kreatif" dalam tempoh pentadbiran terdahulu. Laporan itu merujuk kepada pendedahan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, yang menyatakan bahawa pengurusan terdahulu didakwa merekodkan prestasi kewangan yang kelihatan menguntungkan walaupun bank berdepan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang tinggi.

Menurut laporan SDB merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM878 juta bagi tahun kewangan 2023 dan mengunjurkan kerugian sekitar RM100 juta bagi tahun 2024. Pihak bank menjelaskan bahawa kerugian tersebut berpunca terutamanya daripada peningkatan NPL serta kemerosotan nilai aset. Pada masa yang sama, SDB memaklumkan bahawa pelbagai langkah pemulihan sedang dilaksanakan, termasuk penstrukturan semula pengurusan, pengukuhan kedudukan modal serta usaha mengurangkan beban hutang bagi memulihkan prestasi dan kedudukan kewangan bank.

ARTIKEL BERKAITAN – 24 Ogos 2024: Salah urus, penipuan "perakaunan kreatif" era Shafie Apdal dan Warisan punca SDB rugi hampir RM1 bilion

Salah urus, penipuan


SABAH DEVELOPMENT BANK SAMAN ERNST & YOUNG

Perkembangan terbaharu menyaksikan Sabah Development Bank Berhad (SDB) mengambil tindakan undang-undang terhadap firma audit antarabangsa Ernst & Young PLT (EY). Pada 18 Jun 2025, media melaporkan bahawa SDB telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan tuntutan hampir RM1.97 bilion, mendakwa berlaku kecuaian profesional dan penipuan audit yang menyebabkan kerugian besar kepada bank. Menurut penyataan tuntutan, EY didakwa gagal mengesan dan melaporkan kemerosotan nilai sebenar pinjaman, selain mengesahkan penyata kewangan yang menggambarkan SDB mencatat keuntungan sedangkan bank berdepan masalah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang serius.

ARTIKEL BERKAITAN- 18 Jun 2025: Sabah Development Bank Saman Ernst & Young : Dakwa Penipuan Audit Sebabkan Kerugian RM1.97 Bilion

 Sabah Development Bank Saman Ernst & Young : Dakwa Penipuan Audit Sebabkan Kerugian RM1.97 Bilion

Kes tersebut masih dalam proses mahkamah dan sehingga kini belum diputuskan. Berdasarkan rekod prosiding yang dilaporkan, tindakan saman SDB terhadap EY masih diteruskan dan dijangka akan memasuki peringkat prosiding seterusnya dalam tempoh terdekat. 

Sabahkini2 akan mendedahkan semua butiran kes ini supaya rakyat tahu siapa pemimpin yang menjadi punca SD Bank rugi. Rakyat perlu tahu EY merupakan juru audit tidak boleh dipercayai. Mereka banyak menipu asalkan dapat kontrak kerajaan. SPRM digesa siasat Shafie Apdal dan bekas CEO SD Bank berhubung semua dakwaan ini.

 

 

2 Comments