SANDAKAN: Kegiatan menjadikan dua bilik di sebuah bangunan sebagai stor penyimpanan rokok seludup terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam operasi di Bandar Sandakan, semalam.
Dalam serbuan di sebuah premis di Tingkat 10, Bangunan Baru Bandar Sandakan, Jalan Old Slipway, pasukan operasi merampas sebanyak 187,480 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam.
Rampasan membabitkan rokok kretek dan rokok putih itu dianggarkan bernilai lebih RM229,000.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, semua rokok berkenaan ditemui hasil pemeriksaan di dua bilik yang dijadikan sebagai stor penyimpanan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 42 kes penyeludupan rokok dengan 30 tangkapan, manakala nilai keseluruhan rampasan mencecah RM6.03 juta.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan hasil negara.
Katanya, pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras secara menyeluruh demi memelihara keselamatan dan kepentingan ekonomi negara.

