JHEAINS urus pengebumian semula lebih 40 jenazah di Sim-Sim
18:07 Jul 27, 2026  |  By SabahKini2
JHEAINS urus pengebumian semula lebih 40 jenazah di Sim-Sim

Proses pengebumian semula itu dilaksanakan oleh JHEAINS Sandakan dengan kerjasama pelbagai agensi, waris dan penduduk setempat di kawasan yang lebih selamat dalam tanah perkuburan sama.

SANDAKAN: Lebih 40 jenazah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim di sini dikebumikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad pada Ahad.

Proses pengebumian semula itu dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan dengan kerjasama pelbagai agensi, waris dan penduduk setempat di kawasan yang lebih selamat dalam tanah perkuburan sama.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Rahmin Arman berkata, urusan pemindahan dan pengebumian semula berjalan lancar hasil kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), waris serta penduduk kampung.

"Proses ini dilaksanakan mengikut nasihat Mufti Sabah supaya semua jenazah disemadikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad selaras dengan hukum syarak serta bagi menjaga kemuliaan jenazah," katanya.

Beliau berkata, Pengarah JHEAINS Sabah, Datuk Awang Juri Ag Tahir turut memantau keseluruhan proses menerusi panggilan video bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan mengikut tertib.

Menurutnya, kawasan perkuburan yang terjejas akan dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan larangan pengebumian pada masa hadapan bagi mengelakkan risiko tanah runtuh serta menjamin keselamatan orang ramai.

Pada 11 Mac lalu, lebih 20 kubur dilaporkan rosak akibat kejadian tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim.

Dalam kejadian sama, seorang lelaki warga emas, Agustine Frederick J. Lingam, 76, dilaporkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah hotel di pusat bandar Sandakan.

Comment