Dua Projek jalan alternatif dijangka kurangkan kesesakan Ranau, Kundasang
17:07 Jul 23, 2026  |  By SabahKini2
Dua Projek jalan alternatif dijangka kurangkan kesesakan Ranau, Kundasang

Menurut beliau, projek berkonsepkan reka dan bina itu dijangka siap pada 2027 dengan kemajuan fizikal semasa mencecah 69.7 peratus.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempergiat pelaksanaan beberapa projek jalan alternatif sebagai langkah jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pekan Ranau dan Kundasang, khususnya pada hujung minggu, musim cuti sekolah serta musim perayaan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, antara projek utama ialah Projek Naik Taraf Jalan Kampung Mohimboyon–Lipantai–Pahu Ranau sepanjang enam kilometer yang kini sedang dalam pembinaan.

Menurut beliau, projek berkonsepkan reka dan bina itu dijangka siap pada 2027 dengan kemajuan fizikal semasa mencecah 69.7 peratus.

“Apabila siap kelak, laluan ini akan menjadi alternatif kepada pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap laluan utama antara Pekan Ranau dan Kundasang,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Rusdin Riman (KDM-Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan Projek Naik Taraf Jalan Tambiau–Sarapong, Ranau sepanjang 4.05 kilometer yang dijangka siap pada 2028. Projek tersebut kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 5.42 peratus.

Joachim berkata, projek berkenaan akan meningkatkan kapasiti rangkaian jalan raya di kawasan Ranau serta membantu mengagihkan aliran trafik ke laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di koridor Kundasang-Ranau.

Bagi meningkatkan kelancaran perjalanan, kerajaan turut merancang pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki di beberapa lokasi strategik, khususnya di laluan berbukit yang sering dilalui kenderaan berat.

“Melalui Program Pengurusan Trafik di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, sebanyak 10 cadangan pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki telah dikemukakan untuk pertimbangan pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM2.3 juta diperuntukkan pada 2025 bagi melaksanakan tiga projek lorong memotong di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, manakala RM560,000 disediakan tahun ini untuk satu lagi lokasi di jalan yang sama.

Dalam jangka panjang, kerajaan turut meluluskan beberapa projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk pembinaan Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu Ranau serta penaiktarafan Jalan Kampung Mesilau–Kampung Lipasu sepanjang lapan kilometer daripada jalan gravel kepada jalan berturap.

Menurut Joachim, pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka memberi penyelesaian lebih menyeluruh terhadap isu kesesakan lalu lintas di daerah Ranau dan Kundasang, selain meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

Comment