RM1.2 Bilion pampasan tanah Pan Borneo Sabah Fasa 1 telah dibayar
17:07 Jul 14, 2026  |  By SabahKini2
RM1.2 Bilion pampasan tanah Pan Borneo Sabah Fasa 1 telah dibayar

Beliau berkata bagi Projek LPB Sarawak pula, jumlah keseluruhan pampasan tanah yang telah dibayar ialah RM737 juta.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah membayar sebanyak RM1.2 bilion bagi pampasan tanah untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 setakat ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata bagi Projek LPB Sarawak pula, jumlah keseluruhan pampasan tanah yang telah dibayar ialah RM737 juta.

"Kerajaan menanggung keseluruhan kos pampasan, kerugian dan kos pentadbiran bagi memastikan pemilik tanah tidak mengalami kerugian," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) mengenai justifikasi peningkatan kos Projek LPB Sabah Fasa 1 yang kini mencecah RM24.889 bilion berbanding anggaran awal pada 2015, selain jumlah pampasan tanah yang telah dibayar.

Ahmad berkata peningkatan kos projek daripada RM12.86 bilion pada 2015 kepada RM24.889 bilion ketika ini berpunca daripada perubahan kaedah pelaksanaan projek kepada Kontraktor Konvensional Persekutuan susulan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019.

Menurut beliau, penamatan model PDP atas faktor kepentingan negara memerlukan penilaian semula terhadap baki kerja dan skop projek selepas lima tahun daripada tempoh penilaian asal.

Beliau berkata dari aspek teknikal, peningkatan kos turut disebabkan perubahan skop dan reka bentuk, struktur geoteknikal, rawatan tanah serta kerja pengalihan utiliti berskala besar.

Selain itu, katanya, inflasi dan kenaikan harga bahan binaan utama seperti besi, bitumen dan simen, di samping peningkatan kos jentera serta buruh, turut menyumbang kepada kenaikan kos projek.

Ahmad berkata Fasa 1A melibatkan 16 pakej kerja dengan kos keseluruhan RM10.9 bilion, manakala Fasa 1B merangkumi 19 pakej kerja dengan jumlah kos RM13.989 bilion.

Comment