KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk menjadi hab utama pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Malaysia Timur menerusi cadangan penubuhan sebuah Pusat STEM Sabah di Kota Kinabalu serta 24 cawangan di seluruh negeri.
Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib berkata, inisiatif itu merupakan langkah strategik bagi memperluaskan akses pendidikan STEM kepada semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurut beliau, cadangan tersebut dibentangkan oleh Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, Profesor Ir Dr Mas Sahidayana Mokhtar dan Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Noraini Idris dalam Mesyuarat Pemerkasaan STEM yang diadakan di pejabatnya pada Isnin.
"Kerajaan negeri mahu memastikan Sabah menjadi peneraju pendidikan STEM di Malaysia Timur dengan menyediakan ekosistem pembelajaran yang lengkap dan moden bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
"Penubuhan pusat ini juga selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) serta keperluan Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital dan teknologi hijau," katanya.
Beliau berkata, ibu pejabat Pusat STEM Sabah yang dicadangkan di Kota Kinabalu akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk Akademi Latihan Guru STEM, Makmal Kecerdasan Buatan (AI), Makmal Robotik, Makmal Dron, Digital Fabrication Lab, Makerspace, Inkubator Startup Pelajar, Pusat Pameran Sains, Studio Digital dan Pusat Data STEM Sabah.
Katanya, sebanyak 24 Pusat STEM Daerah turut dicadangkan diwujudkan di seluruh Sabah dengan setiap pusat menyediakan kemudahan seperti makmal robotik, AI, dron, pengaturcaraan (coding), Internet Pelbagai Benda (IoT), percetakan 3D, studio multimedia serta bilik realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).
James berkata, rangkaian pusat berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dalam bidang AI, robotik, dron, teknologi hijau dan inovasi, sekali gus menyediakan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Selain itu, pelbagai program pembangunan bakat akan dilaksanakan antaranya Sabah Robotics Championship, Sabah Drone Challenge, Sabah AI Challenge, Digital Maker Festival, Science Camp, Girls in STEM, Program Teknologi Hijau, Space Science Programme, Junior Engineer Programme dan AI for Kids.
Menurut beliau, projek berkenaan dianggarkan menelan kos RM195 juta, melibatkan RM75 juta bagi pembangunan ibu pejabat Pusat STEM Sabah dan RM120 juta untuk pembinaan 24 pusat STEM daerah.
Katanya, pembiayaan projek dicadangkan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sektor industri, tanggungjawab sosial korporat (CSR), geran antarabangsa serta kerjasama awam-swasta (PPP).
Dalam tempoh lima tahun, inisiatif itu menyasarkan penyertaan 500,000 pelajar, melatih 20,000 guru dalam pedagogi STEM, menghasilkan 10,000 projek inovasi, menganjurkan 500 pertandingan STEM, mewujudkan 100 rakan strategik industri serta melahirkan 500 syarikat pemula teknologi pelajar.
Beliau berkata, penubuhan Pusat STEM Sabah merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang diyakini mampu merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar selain memperkukuh pembangunan bakat teknologi dan inovasi di Malaysia Timur.

