Lima rumah terbakar, tiada mangsa dalam kejadian di Kota Marudu
16:07 Jul 10, 2026  |  By SabahKini2
Lima rumah terbakar, tiada mangsa dalam kejadian di Kota Marudu

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada 2.19 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

KOTA MARUDU: Lima rumah musnah manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kecil dalam kebakaran di Kampung Talantang, Jalan Damai, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada 2.19 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata jentera bomba tiba di lokasi pada 2.43 pagi, kira-kira 15 kilometer dari balai, dan mendapati lima rumah terbakar antara 90 hingga 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah mengalami kerosakan kira-kira lima peratus.

"Empat motosikal turut musnah sepenuhnya dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Debli, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta sumber air terbuka di parit berhampiran.

Beliau berkata api berjaya dikawal pada 3.17 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.33 pagi.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Operasi itu melibatkan 12 anggota BBP Kota Marudu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.

Comment