KBDS cadang tubuh Yayasan Bahasa Dusunik
16:07 Jul 10, 2026  |  By SabahKini2
KBDS cadang tubuh Yayasan Bahasa Dusunik

Presiden KBDS, Datuk Lawrence Gimbang berkata, penubuhan yayasan berkenaan juga diharap dapat memperkukuh usaha penyelidikan, dokumentasi, penerbitan serta penyebaran pengetahuan mengenai bahasa Dusunik.

KOTA KINABALU: Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah (KBDS) merancang menubuhkan Yayasan Bahasa Dusunik bagi memperkasa pengajaran dan pembelajaran bahasa itu, khususnya dalam kalangan penutur asli serta generasi muda melalui saluran pendidikan.

Presiden KBDS, Datuk Lawrence Gimbang berkata, penubuhan yayasan berkenaan juga diharap dapat memperkukuh usaha penyelidikan, dokumentasi, penerbitan serta penyebaran pengetahuan mengenai bahasa Dusunik dan warisan budaya masyarakat Dusun.

Menurutnya, hasrat itu disampaikan ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Negeri pada Rabu.

Lawrence berkata, kunjungan yang disertai lapan Ahli Jawatankuasa (AJK) tertinggi KBDS itu turut bertujuan memaklumkan mengenai penubuhan persatuan yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 28 Januari 2022.

Katanya, KBDS komited memelihara, mengembangkan dan melestarikan bahasa Dusunik mengikut dialek masing-masing.

"Bagi merealisasikan hasrat itu, KBDS bercadang menghimpunkan pendidik dan pakar bahasa Dusunik menerusi perbincangan ilmiah, bengkel bahasa, perundingan kepakaran serta pertandingan di daerah yang mempunyai ramai penutur bahasa Dusunik seperti Ranau, Tambunan, Tuaran, Keningau dan Penampang," katanya.

Mengulas aktiviti persatuan, Lawrence berkata, KBDS telah melaksanakan beberapa program sejak penubuhannya, antaranya Lawatan Kolaborasi Bahasa Ibunda di IPG Kampus Kent pada 2022 serta Bengkel Membina Buku Kosa Kata dan Buku Cerita Dusunik pada 2023.

Beliau berkata, persatuan itu turut merancang melaksanakan Program Komuniti Boros Dusunik di Tambunan pada tahun ini.

Dalam pada itu, katanya, KBDS akan terus komited menyediakan khidmat juru perunding bahasa Dusunik di Sabah sebagai usaha memastikan bahasa dan warisan budaya masyarakat Dusun terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Comment