PGA bongkar 14 premis, sita aset dan produk sejuk beku lebih RM24 juta
16:07 Jul 10, 2026  |  By SabahKini2
PGA bongkar 14 premis, sita aset dan produk sejuk beku lebih RM24 juta

Beliau berkata, sebanyak 14 serbuan dilakukan di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas pelbagai produk sejuk beku dan menyita aset bernilai lebih RM24 juta menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter – Op Chiller Briged Sabah yang dijalankan di 11 daerah, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata operasi dari 8 pagi hingga 6 petang pada 8 Julai itu bertujuan membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku, selain mengesan pelbagai kesalahan lain.

Beliau berkata, sebanyak 14 serbuan dilakukan di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.

"Hasil operasi membawa kepada penahanan 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun, terdiri daripada 19 rakyat tempatan dan dua warga asing. Semua yang ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM24,152,652.25.

Daripada jumlah itu, produk sejuk beku bernilai RM10.35 juta dirampas, termasuk nugget, sosej, daging import jenama Allana, lamb shoulder, ayam, ikan, daging shabu-shabu dan organ dalaman lembu.

Turut disita ialah aset bernilai RM13.8 juta yang merangkumi 11 unit chiller berkapasiti 700 liter, 24 bilik sejuk pelbagai saiz, selain beberapa kenderaan dan peralatan.

Siasatan mendapati pelbagai kesalahan dipercayai dilakukan mengikut Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan beberapa undang-undang kecil Majlis Daerah Lahad Datu.

Antara kesalahan dikesan ialah penyimpanan dan pengendalian produk makanan, syarat kebersihan premis, penggunaan bangunan serta pelanggaran kawalan bekalan.

Mohd Yusri berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Operasi itu membabitkan 147 pegawai daripada pelbagai agensi, termasuk PGA Briged Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Comment