JSJN Sabah patahkan cubaan edar ganja guna perkhidmatan pos
15:07 Jul 09, 2026  |  By SabahKini2
JSJN Sabah patahkan cubaan edar ganja guna perkhidmatan pos

Menurutnya, susulan risikan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun pada jam 12.30 tengah hari.

KOTA KINABALU: Cubaan mengedar ganja menggunakan perkhidmatan pos gagal apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan seorang lelaki yang mengambil bungkusan mengandungi dadah berkenaan di Alamesra, di sini, pada Rabu.

Dalam operasi berasingan pada hari sama, JSJN turut menahan seorang lelaki warga Filipina bersama syabu di Inanam.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, kejayaan pertama adalah hasil risikan selepas pihaknya menerima satu bungkusan daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia yang disyaki mengandungi dadah.

Menurutnya, susulan risikan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun pada jam 12.30 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan itu menemukan tiga paket plastik mengandungi dadah disyaki ganja seberat 105 gram.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi urusan berkaitan kegiatan itu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Keningau itu tidak mempunyai pekerjaan dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Dalam operasi kedua pada jam 7.50 malam, katanya, anggota JSJN IPK Sabah yang menjalankan Op Gempur Khas menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang sebuah premis di Inanam.

"Pemeriksaan terhadap beg kecil yang dibawa suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi keratan tiub straw berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 10.36 gram.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine," katanya.

Menurut Alhusin, semakan turut mendapati lelaki warga Filipina berusia 36 tahun itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek kedua disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini," katanya.

Comment