Sabah perkenal Pelan Kecekapan Tenaga, Program Solar Rakyat
15:07 Jul 09, 2026  |  By SabahKini2
Sabah perkenal Pelan Kecekapan Tenaga, Program Solar Rakyat

Kunjungan itu bertujuan memaklumkan mengenai penganjuran Majlis Peluncuran Program Tenaga Lestari Rakyat Sabah yang dijadual berlangsung pada 30 Julai ini di Grand Ballroom, The Pacific Sutera Hotel, di sini.

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Energy Commission of Sabah (ECOS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid bersama pegawai kanan agensi itu di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Kunjungan itu bertujuan memaklumkan mengenai penganjuran Majlis Peluncuran Program Tenaga Lestari Rakyat Sabah yang dijadual berlangsung pada 30 Julai ini di Grand Ballroom, The Pacific Sutera Hotel, di sini.

Pada majlis berkenaan, Tun Musa dijemput sebagai tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran program itu.

Dalam taklimat kepada Yang di-Pertua Negeri, Abdul Nasser berkata program berkenaan menjadi platform untuk memperkukuh agenda peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi hijau Sabah.

Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada penggunaan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, pembangunan modal insan serta penglibatan komuniti dan industri.

"Antara pengisian utama ialah pelancaran Sabah Energy Efficiency Action Plan (SEEAP) sebagai pelan tindakan negeri bagi memperkukuh amalan kecekapan tenaga dan pengurusan tenaga mampan.

"Program ini turut menyaksikan pelancaran Program Solar Rakyat Sabah bagi memperluaskan akses kepada tenaga solar dan menggalakkan penyertaan rakyat dalam pembangunan tenaga boleh baharu.

"Turut diperkenalkan ialah Kempen Galakan SELCO-PV 2.0 yang menampilkan beberapa projek perintis termasuk inisiatif Government Lead by Example (GLBE) menerusi Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA)," katanya.

Abdul Nasser berkata kempen itu turut merangkumi projek pemasangan solar komersial terbesar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Khidmat Budi Tenaga Lestari ECOS bersama rakan strategik industri.

Beliau berkata program itu turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan ECOS, selain pensijilan institusi latihan dalam bidang solar serta tenaga boleh baharu.

"Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha mempercepatkan peralihan tenaga Sabah, meningkatkan pelaburan dalam sektor tenaga hijau serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan komuniti," katanya.

Comment