Projek pembesaran KKIA bernilai RM500 juta dijangka bermula selepas isu tanah selesai
19:07 Jul 08, 2026  |  By SabahKini2
Projek pembesaran KKIA bernilai RM500 juta dijangka bermula selepas isu tanah selesai

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata peruntukan bagi projek itu telah diluluskan, namun beberapa perkara melibatkan kawasan pembesaran dan tapak berhampiran landasan sedia ada masih perlu diselesaikan.

KUALA LUMPUR: Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bernilai hampir RM500 juta akan dimulakan sebaik isu berkaitan tanah dan tapak dimuktamadkan bersama kerajaan Sabah.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata peruntukan bagi projek itu telah diluluskan, namun beberapa perkara melibatkan kawasan pembesaran dan tapak berhampiran landasan sedia ada masih perlu diselesaikan.

“Kalau semua hal tanah ini sudah diselesaikan, projek itu akan dibangunkan. Kita tunggu keputusan kerajaan Sabah berhubung perincian tapak tanah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) mengenai status pembangunan KKIA dan Lapangan Terbang Tawau seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Hasbi berkata projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau sedang dilaksanakan.

Dalam Belanjawan 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2.3 bilion bagi pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri yang dijangka siap menjelang 2028.

Sementara itu, menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut), Hasbi berkata kerajaan belum merancang membuka semula perkhidmatan penerbangan komersial ke Lapangan Terbang Pulau Pangkor kerana pengangkutan laut masih menjadi pilihan utama pelancong dan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan yang berminat untuk beroperasi di lapangan terbang itu, tertakluk kepada penilaian komersial dan daya maju perniagaan.

Menurutnya, Lapangan Terbang Pulau Pangkor sebelum ini pernah mengendalikan penerbangan charter oleh Berjaya Air menggunakan pesawat Dash 7 serta SKS Airways dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, sebelum perkhidmatan itu dihentikan pada Mei 2022.

Hasbi turut menegaskan Lapangan Terbang Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Tioman bukan "gajah putih" kerana masih digunakan untuk penerbangan persendirian, operasi tentera, pendaratan kecemasan dan perkhidmatan doktor terbang, selain terus diselenggara oleh MAHB.

Comment