Ramai petani muda Sabah tercicir subsidi BUDI Diesel
19:07 Jul 08, 2026  |  By SabahKini2
Ramai petani muda Sabah tercicir subsidi BUDI Diesel

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, syarat sedia ada menyebabkan sebahagian besar pengusaha muda, khususnya di kawasan luar bandar, tidak layak memohon bantuan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memohon Kerajaan Persekutuan mengkaji semula syarat pemilikan kenderaan bagi melayakkan penerima memperoleh subsidi BUDI Diesel, susulan ramai petani muda menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan atas nama sendiri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, syarat sedia ada menyebabkan sebahagian besar pengusaha muda, khususnya di kawasan luar bandar, tidak layak memohon bantuan berkenaan walaupun mereka merupakan pengguna sebenar kenderaan terbabit.

Menurutnya, ramai dalam kalangan mereka memperoleh kenderaan menerusi kaedah sambung bayar atau pembiayaan syarikat, menyebabkan hak milik masih belum dipindahkan kepada pengguna.

"Di peringkat akar umbi, ramai pengusaha muda membeli kenderaan secara sambung bayar atau pinjaman syarikat. Ada juga petani yang tidak mempunyai akaun bank tetapi mampu membayar ansuran bulanan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, terdapat juga pengusaha yang menerima pembiayaan berdasarkan hasil jualan komoditi seperti getah, namun pendaftaran kenderaan masih menggunakan nama syarikat pembiayaan.

Jelasnya, isu berkenaan antara kebimbangan yang sering dibangkitkan oleh golongan muda yang menceburi sektor pertanian.

"Kita sudah menggalakkan mereka terlibat dalam sektor pertanian, penanaman padi, penorehan getah dan pelbagai aktiviti lain.

"Apabila mereka tidak layak menerima BUDI Diesel, sedikit sebanyak ia melemahkan semangat mereka untuk terus mengusahakan sektor ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat meneliti semula syarat kelayakan sedia ada agar bantuan BUDI Diesel dapat dinikmati oleh pengguna sebenar yang menggunakan kenderaan bagi tujuan aktiviti pertanian.

Comment