KBDS komited martabatkan bahasa Dusunik sebagai warisan Sabah
18:07 Jul 08, 2026  |  By SabahKini2
KBDS komited martabatkan bahasa Dusunik sebagai warisan Sabah

Lawrence berkata kunjungan itu bertujuan memperkenalkan penubuhan KBDS selain berkongsi visi, misi dan perancangan persatuan dalam memastikan bahasa Dusunik terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

KOTA KINABALU: Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah (KBDS) memperkukuh usaha memartabatkan dan memelihara bahasa ibunda etnik Dusunik menerusi kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Delegasi yang diketuai Presiden KBDS, Datuk Lawrence Gimbang, turut disertai Setiausaha Agung Petrus Guriting, Penolong Setiausaha Agung Noemi Justin, Penolong Bendahari Agung Datuk Webley Disim serta Ahli Jawatankuasa Dr. Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah, Sitiamah Haji Sahat, Soguli Olid dan Constantine Anthony.

Lawrence berkata kunjungan itu bertujuan memperkenalkan penubuhan KBDS selain berkongsi visi, misi dan perancangan persatuan dalam memastikan bahasa Dusunik terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

"Pelbagai program yang dirancang turut dibentangkan kepada Tun Musa Aman bagi memperkukuh usaha pemuliharaan bahasa ibunda masyarakat Dusunik.

"Kami turut memberi penerangan mengenai penubuhan KBDS serta menjelaskan hala tuju persatuan dalam usaha memartabatkan bahasa Dusunik sebagai warisan masyarakat Sabah," katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.

Menurut beliau, KBDS didaftarkan secara rasmi pada awal 2022 hasil kesedaran terhadap keperluan memelihara bahasa ibunda etnik Dusunik daripada terus terhakis dan pupus akibat perubahan zaman.

Beliau berkata bahasa bukan sekadar medium komunikasi, malah merupakan lambang identiti, sejarah dan warisan budaya yang perlu dipelihara secara berterusan.

Sehubungan itu, katanya, KBDS komited melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program pendidikan, dokumentasi bahasa serta aktiviti kesedaran bagi menggalakkan penggunaan bahasa Dusunik dalam kalangan generasi muda.

Lawrence berharap usaha berkenaan mendapat sokongan semua pihak agar bahasa Dusunik terus kekal relevan dan menjadi kebanggaan masyarakat Sabah.

Comment